Friday, August 27, 2010

PERTANDINGAN CERPEN ISLAMI

Alhamdulillah, akhirnya peserta KRIM Kedah telah berjaya meraih tempat kedua dan saguhati sempena pertandingan mengarang cerpen Islami anjuran KRIM bersama Telaga Biru. Tempat kedua adalah milik adik Siti Nor Syuhada bt Ahmad Sanusi dari Sek. Men. Keb. Jitra sementara saguhati pula adik Muhammad 'Ammar b Abu Kassim dari Maktab Mahmud Yan. KRIM Kedah dengan rasa sukacita merakamkan ucapan tahniah diatas kemenangan tersebut. Harapan kami agar adik-adik terus mengilap bakat yang diberi Allah swt untuk umat ini. Selamat berkarya untuk umat. Insya Allah berkemungkinan besar cerpen ini akan dibukukan dan adik-adik boleh mendapatkan melalui Penggerak KRIM kawasan. Sekiranya buku ini terlahir nanti kami akan war-warkan kepada semua. Moga ianya menjadi  cetusan idea dan semangat buat yang lain. Insya Allah.

TAHNIAH

akhi Habib tiga dari kanan (berdiri) & akhi Misri 4 dari kanan (duduk)

KRIM Kedah merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada penggerak KRIM Kedah iaitu Akhi Habib dan Akhi Misri serta sahabatnya yang lain atas keberangkatan mereka ke Bumi Anbiya' dalam misi kembara ilmu pada 16 Ogos 2010 yang lepas. Mudah2an Allah permudahkan segala urusan mereka disana, ditarbiah dengan sebaik-baiknya dan kembali membawa kejayaan yang dicita, juga sebagai jundullah dakwah untuk bumi Malaysia tercinta. Jazakumullah khairan kathiraa buat mereka berdua yang telah bertungkus lumus memikul amanah selama bersama team KRIM Kedah. Hanya Allah jualah yang mampu membalasnya.



Menanti untuk diterbangkan

Saturday, August 14, 2010

Meninggal Dunia Ketika Solat Asar / Khutbah


Ustaz (di sini saya namakan Ustaz M) yang diamanahkan untuk mengendalikan kursus jenazah ini sudah berpengalaman hampir 10 tahun dalam mengendalikan urusan mandi jenazah di sekitar Lembah Kelang dan Malaysia . Beliau amat terkenal dikalangan jemaah masjid di sekitar lembah Kelang ini. Malah beliau juga selalu berulang-alik ke merata negeri seperti pantai timur semenanjung dan utara selatan untuk menguruskan mana-mana jenazah yang dibawa ke masjid yang memerlukan khidmat tangan beliau.
Saya nak mulakan kisah ini dengan kisah yang pertama.

Kisah ini berlaku pada seorang imam di selatan KL yang meninggal dunia ketika lepas solat Asar.
cid:002001caf0eb$81c6ca30$0c0010ac@RuhaizahPC
Imam tersebut meghembus nafasnya yang terakhir sebaik sahaja selesai memberi salam yang pertama.

Subhanallah! Matinya dalam keadaan yang amat murni. Murni di sini maksud saya, matinya bukan dalam keadaan berbuat maksiat pada Allah SWT. Mati ketika habis solat dan masih di atas tikar sejadah dan sedang beribadah!

Jenazahnya telah di bawa ke hospital X untuk urusan pemeriksaan rutin (medical check-up) dan urusan-urusan lain yang perlu untuk pengurusan pengkebumian.

Pihak hospital X telah memanggil ustaz M untuk urusan mandian jenazah. Maka bergegaslah ustaz M ke hospital untuk urusan tersebut sebab bagi beliau, jenazah yang hendak dimandikan ini begitu istimewa pada pandangannya, kerana roh si mati telah dicabut oleh malaikat Izrael ketika mana sedang mengimami solat!

Sebaik sampai di hospital, ada sedikit masalah yang timbul. Pihak hospital telah mendapati bahawa jenazah imam tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, dan pihak hospital atas bantuan rakan-rakan jenazah mendapat tahu, jenazah imam ini adalah meupakan orang luar. Maknanya seorang imigran, yang bermastautin di negara kita.

Rentetan daripada kes ini, pihak hospital X terpaksalah menyimpan dahulu jenazah tersebut untuk beberapa hari bagi urusan dokumentasi dengan pihak berwajib sehinga selesai dan kemudian itu barulah segala urusan yang berkaitan pengebumian akan dilaksanakan. Yang pasti terkilannya sudah tentu ustaz M. Kerjanya sudah sedikit terbantut pada hari itu. Sebelum itu, hatinya sudah pun begitu berbunga untuk menguruskan jenazah imam yang dimuliakan Allah SWT ini. Tentu ada kelebihan tersendiri kenapa imam tersebut pengakhiran rohnya di atas tikar sejadah!

Maka, jenazah imam tersebut pun dimasukkanlah ke dalam 'freezer' (maaf, saya tak tahu apa istilah pembeku mayat ini) di dalam bilik mayat hospital X buat sementara waktu.
Lapan hari berlalu. Ustaz M dah mula nak melupakan pasal jenazah imam ini.

Tapi, dengan takdir Allah SWT, hari ke-9, telefon bimbit ustaz M berbunyi.

"Nampak macam no hospital nie", getus hati ustaz M.

"Hello, ustaz M ye?"... satu suara bertanya.

"Ya, ustaz M bercakap".

"Ustaz ingat lagi tak mayat imam yang meninggal masa solat Asar tempohari?", sang suara meminta kepastian.

"Imam...imam. ..yanng mana satu....ermm. .oh...ya. .ya..ingat. .ingat... ", ustaz M memberi kepastian dalam ingat-ingat lupanya.

"Dokumen dah siap, boleh ustaz datang sepital, uruskan tak?", beritahu sang suara ringkas.
"Ok..ok..., sekarang juga aku bergerak, setengah jam lagi aku sampai! ",
balas ustaz M.

Lega hati ustaz M. Dapat juga dia uruskan mayat tersebut setelah beberapa hari 'pending'. Ingatkan dah tak jadi apa-apa dah. Lama bebenor pihak hospital nak mengurus kan dokumennya.

Sampai di hospital, ustaz M yang baru tiba diarahkan ke bilik mayat. Di bilik mayat telah ada beberapa orang saksi di kalangan pegawai hospital dan juga polis serta saksi-saksi lain termasuk rakan-rakan jenazah imam tersebut. Semua saksi ini diperlukan kerana inilah 'prosedur' yang telah ditetap oleh pihak berwajib. Sebab jenazah dah berhari-hari di situ. Tambahan pula jenazah orang luar.

Bismillahir Rohmaanir Rohiim...... Dengan bersaksikan mata sekeliling yang memandang, ustaz M menarik 'stretcher ' peti sejuk beku mayat tersebut dengan perlahan-lahan. ..
Subhanallah! Mayat imam ini masih lagi segar merah. Mayat ini juga berpeluh! Macam mana simpan dalam peti ais berhari-hari boleh berpeluh?

Korang tak payah jawablerrr.. ..Seolah- olah imam ni baru aje meninggal sebentar tadi. Mayatnya tidak keras dan tidak pula membeku! Macam orang sedang tidur. Ustaz M kelu lidahnya. Begitu juga orang di sekeliling.

Istimewa sungguh mayat ini. Kalau daging mayat biasa dah lama mengeras dan membeku. Masya-Allah! Sekali lagi perkara pelik berlaku...terdapat pula pada dahi jenazah imam ini, tertera satu kalimah tauhid iaitu perkataan "ALLAH"!

Semua orang di sekitar dapat menyaksikan peristiwa ini. Tiada perkataan lain yang keluar dari mulut mereka melainkan tasbih memuji Allah SWT meniti di bibir masing-masing di atas apa yang berlaku.

Semakin bersemangatlah nampaknya ustaz M nak menguruskan jenazah tersebut. Yerlah, siapa yang tak suka pada sesuatu yang molek dan membahgiakan kan ?....

Jenazah imam itu dimandi, dikapan dan disembahyangkan dengan segera sebagaimana biasa. Semua proses ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Semuanya berjalan amat mudah. Allah SWT telah pun memuliakan jenazah imam ini di dunia lagi atas jasa-jasa dia yang Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.

Mengikut ustaz M lagi, lepas semua tu selesai, dia ada juga bertanya pada rakan-rakan Allahyarham apa yang diamalkan oleh Allahyarham semasa hidup sehingga mendapat pengiktirafan yang begitu tinggi daripada Allah SWT masa kematiaanya.

Jawapan yang didapati daripada rakan-rakannya ialah selain daripada seorang yang berbudi pekerti mulia dan seorang imam yang baik, amalan semasa hidupnya ialah tidak pernah tinggal bangun malam dan bersolat tahajjud. Semua amalan ini dilakukkanya secara istiqamah. Ditambah pula oleh amalan-amalan lain yang tidak dapat dilihat oleh rakan-rakan arwah, yang mana hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahuinya.

jenazah

MENINGGAL KETIKA BACA KHUTBAH JUMAAT

Ustaz M pada kursus hari kedua telah bercerita tentang seorang imam yang meninggal ketika sedang membaca khutbah pada solat Jumaat.

Kursus hari kedua ni bermula jam 9.15 pagi. Sebelum memulakan kursus, ada jemaah yang kelihatan sedang mendaftar semula kat meja pengelola, ada jemaah yang mundar mandir sambil menunggu ketibaan Ustaz M, ada yang solat sunat Dhuha. Ada yang duduk2 berborak dan berkenalan antara satu lain dan ada yang nampak berzikir. Maklumlah yang datang kursus ni bukannya sedikit. Hampir 180 orang kesemuanya. Ustaz M cakap, inilah kursus pengurusan jenazah yang paling ramai yang dia kendalikan. Sebelum ni, paling ramai pun yang berkursus adalah dalam lingkungan 50 - 60 orang sahaja. Luar biasa ramainya, puji beliau.

Ustaz memulakan kursus dengan sedikit ucapan alu-aluan. Kemudian, dia ada menyentuh sikit tentang solat sunat Dhuna. Sebab sebelum tu ramai juga jemaah yang solat sunat Dhuha. Solat sunat Tahiyyatul-Masjid sudah pasti. Meneyentuh tentang solat sunat dhuha ni, Ustaz M memulakan cerita.

Berlaku di sebuah masjid di selatan ibu Kota Kuala Lumpur . Masa tu, hari
Jumaat. Solat JUmaat sudah dimulakan pabila bilal melaungkan azan dan
sejurus kemudian imam naik ke mimbar untuk mula membaca khutbah.

Imam kali ini ialah seorang pemuda yang berusia 28 tahun. Muda lagi. Dan sudah berkahwin. Jemaah di situ memang sudah arif sangat dengan imam ini.

Imam ini memulakan khutbahnya. Sampai pada perkataan, "Uusyikom Bitaqawallah, Waihyaa..... ......... ......... .". Tiba-tiba imam ini terdiam....
Semua para jemaah diam (memang dengar khutbah kena diam pun) dan hanya memerhati sahaja ke arah imam. Semua mata tertumpu kepadanya.

Imam masih lagi senyap. Matanya terpejam rapat. Tidak bergerak. Suasana hening seketika. Kedengaran sekali sekala bunyi enjin kenderaan motor keluar-masuk kawasan masjid menandakan ada jemaah yang baru tiba. Mana yang tengah berwudhu' nampak tidak berapa ambil pusing dengan apa yang sedang berlaku di atas mimbar. Di satu sudut masjid pula, kelihatan jemaah yang tak mendengar khutbah, leka mengunyah pisang emas dan pisang montel yang disedekah oleh orang ramai. Ambil berkat gamaknya.

Tiba-tiba tangan imam yang sedang memegang kayu mimbar, melurut ke bawah, dan beliau pun jatuh terduduk di atas kerusi khatib. Kepalanya terlentuk ke bawah. Makmum yang masih tergamam dengan peristiwa ini, segera bangun untuk melihat apa yang terjadi. Bilal menerpa ke arah imam dan ingin membantu serta menolong jika sesuatu yang buruk berlaku kepada khatib.

Imam (khatib) dipapah turun dan diletak di hadapan para jemaaah di saf
hadapan. Setelah diperiksa oleh bilal, tiada perkataan lain yang boleh
diucapkan selepas itu melainkan, "Innalillahi wainna Ilaihi roojiuun..." .

Kembalinya ke rahmatullah seorang imam yang amat berjasa pada masyarakat setempat. ada makmu yang masih terkejut dengan peristiwa ini. Ada juga yang menitiskan air mata tanda terharu. Hilang sudah sebutir permata yang baru nak berkembang mekar. Hilang juga satu cahaya yang menerangi alam yang fana ini.

Yang uniknya kata ustaz M, sewaktu imam itu menghembuskan nafas terakhirnya, jatuhnya betul-betul di atas kerusi yang berada di belakangnya dan terus sahaja duduk. Tidak jatuh tersungkur ke depan, dan tidak juga jatuh sama ada ke kiri atau ke kanan mimbar. Elok sangat duduk atas kerusi khatib, sama seperti beliau duduk sebelum memulakan bacaan khutbah tadi...dan pada masa ini juga, dipercayai, imam tersebut telah pun meninggal dunia....Jenazah pun dibawa balik untuk diuruskan...

Ustaz M pun dipanggil untuk menguruskan jenazah ini.
Sebaik kain penutup mayat diselak untuk memulakan proses mandian jenazah, ustaz M begitu terkejut bercampur terharu yang amat sangat bila melihat beberapa kejadian mengkagumkan berlaku pada mayat. Apa yang terharu dan peliknya?... .

Ya,

Badannya jenazah itu amat berseri dan masih nampak kelihatan darah masih mengalir lagi pada seluruh tubuhnya. Seolah-olah jenazah ini masih hidup. Tidak mati gitu. Macam orang tidur aje. Dan yang lebih mengkagumkan ustaz M lagi, keluarnya satu haruman yang semerbak dari badan jenazah. Wangi sungguh! Tak pernah ustaz M mencium bau wangian sebegini rupa selama dia menguruskan jenazah lain sebelum ini! Hebat mayat ni, fikir ustaz M...

Subhanallah!

Hati ustaz M begitu melonjak girang untuk meneruskan memandikan jenazah imam sehingga selesai. Hati kecilnya berdoa ;

"Ya Allah! Engkau Maha Mulia! Engkau telah memuliakan mayat ini, maka
muliakanlah ia sehingga aku selesai memandikannya. Aku begitu seronok
melihat jenazah dalam berkeaadan begini. Ya Allah...Ya Allah..Ya
Allah....... ......"

Rupanya-rupanya kemuliaan jenazah imam ini tidak berakhir di situ. Doa
ustaz M dimakbul Allah SWT. Menurut ustaz M lagi, sewaktu jenazah imam ini nak ditanam ke dalam liang lahad, sahabat-sahabat yang menggali kubur memberitahu, muncul pula pelbagai jenis bunga-bungaan yang datang entah dari mana, turut berada di dalamnya . Masa gali tadi takde. Elok aje mayat sampai, banyak pula munculnya. Cantik sungguh liang lahad dengan dihiasi bunga-bungaan tersebut, seolah-olah sedang meraikan dan menanti kedatangan bakal penghuni syurga!

SUBHANALLAH! SUBHANALLAH!

Tak tau apa lagi nak cakap betapa Allah SWT telah pun meletakkan hamba-Nya ini di maqam tertinggi dan dimuliakan Tambahan pula, ianya sudah pun dipertontonkan pada umat Islam lain, agar memahami dan menegerti bahawa inilah balasannya. pada orang yang beramal soleh serta taat dan patuh pada perintah-Nya! Sesungguhnya Allah itu tidak memungkiri janji-NYa!

Seperti biasalah, ustaz M pasti tak akan puas hati kalau tak bertanya pada isteri yang dimuliakan Allah imam tersebut tentang apakah amalan si arwah pada masa hidup sehinggakan jenazahnya mendapat pengikhtirafan sebegitu rupa sejak dari alam dunia lagi.
Menurut kata isteri arwah imam tersebut, sepanjang dia hidup bersamalah, perkara yang dia perasan, amalan imam itu semasa hayatnya kalaulah ia boleh dijadikan ukuran, ialah tidak pernah meninggalkan solat sunat Dhuha dan solat sunat Witir.

Inilah amalan istiqamahnya. Setiap malam, sebelum arwah menutup dairi
kehidupannya hari itu dan tidur, pasti dia akan menunaikan solat witir.
Setiap hari, sehinggalah ke pengakhiran hayatnya, ditambah pula oleh
amalan-amalan lain yang dilakukan sebagai seorang yang menjawat jawatan sebagai seorang imam untuk kawasan tersebut.

Wallahua'lam.

"Sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam" yang didoakan oleh Nabi Yusuf dalam Surah Yusuf, ayat 101 yang berikut:

[101] "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".

Tuesday, July 27, 2010

Pemuda Dan Waktu Lapang

“Buat apa waktu cuti musim sejuk ni?” tanya saya pada seorang rakan sebagai pembuka bicara ketika kami bertemu di masjid selepas solat Jumaat tempoh hari.

“Oh, tak buat apa sangat. Main games, tengok movies, tengok world cup. Release tension sikit. Baru habis exam minggu lepas. Nak berjalan sejuk, duit pun kering. Kalau rajin sikit nanti nak cari kerja.”

“Banyak tu masa kosong. Nanti ada program, datanglah ye.” jawab saya sambil ketawa kecil.

“Boleh insyaAllah. Inform nanti ye. Kalau tak sibuk saya datang.” jawabnya sambil tersenyum.


Sibuk dan tiada masa

Sibuk, atau busy. Dua perkataan yang sering keluar dari mulut seorang pemuda masa kini. Sibuk dengan urusan apa? Hampir 10 tahun saya di alam mahasiswa, sejak di kolej sehingga ke universiti kini, antara sebab yang sering didengar:

Di awal tahun sibuk dengan urusan settle down dan menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan-rakan. Di pertengahan tahun, sibuk dengan pelajaran, assignments dan peperiksaan. Di hujung tahun pula sibuk mengemas rumah dan mengira baki di bank untuk berjalan. Di waktu cuti pula sibuk dengan urusan-urusan seperti games, movies dan tv.

Bila agaknya masa kita sibuk dengan urusan agama?
Urusan untuk diri dan umat buat bekalan di hari muka?
Urusan pembinaan diri sendiri yang bukan diatur orang lain untuk kita?
Urusan mengisi ruh dengan makanan ilahi, menguatkan hati dengan iman?
Apa mahu tunggu urusan games, movies dan tv yang diatur musuh islam selesai sebelum urusan diri?

Pemuda dan waktu lapang

Para ilmuan Islam telah mengingatkan kita pada satu faktor penting yang perlu diambil kira dalam kehidupan pemuda Islam yakni waktu lapang.

Jika waktu lapang menjadi penentu kepada kegiatan dalam kehidupan, maka berhati-hatilah kerana awal maksiat, terutama kepada pemuda, bermula dari waktu lapang.

Amr Khaled, seorang penceramah dan penulis yang terkemuka, telah menyimpulkan satu rumus yang berguna sebagai peringatan bagi kita semua:

Pemuda + Waktu Kosong = Awal Maksiat.

Pengajaran dari al-Quran

Mari kita imbau sebuah kisah yang diceritakan al-Quran dalam surah Yusuf. Mengapa isteri raja Aziz menggoda Nabi Yusuf a.s.?

Antara jawapan utamanya kerana dia adalah wanita kota, isteri pembesar dan punya banyak masa lapang! Kita boleh lihat sendiri hari ini, berapa ramai dari isteri atau pasangan pembesar yang menghabiskan masa mereka kegiatan-kegiatan yang bermanfaat untuk diri dan masyarakat?

Diceritakan dalam surah Yusuf, tentang perkumpulan yang diaturkan isteri raja Aziz sebagai bukti banyaknya masa lapang mereka yang dibazirkan dengan perbuatan yang tidak menghargai waktu.

“…diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka.” [Yusuf 12: 31]

Pengajaran dari sunnah

Ayuh kita lihat pula apa yang disabdakan oleh mu’allim (guru) teragung kita.

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang usianya dan baik amal perbuatannya. Seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang usianya dan buruk amal perbuatannya.” [Hadis riwayat Ahmad]

“Ada dua nikmat yang ramai orang tertipu oleh keduanya; iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” [Hadis riwayat Bukhari]

Ya, dua nikmat yang kita sering tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang yang sering diisi dengan perkara yang tidak sewajarnya. Nikmat yang diberi sebagai satu ujian kepada manusia, dan mereka yang lulus ujian ini hanya mereka yang bersyukur dengannya.

Lebih mudah berhadapan dengan ujian dalam bentuk kesenangan dan kesusahan, yang syarat lulusnya adalah taubat, penyesalan dan mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sabda baginda lagi:
“Tidak ada sesuatu yang disayangkan oleh ahli syurga kecuali suatu waktu yang mereka lewati tanpa menggunakannya untuk zikir (mengingati) kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” [Hadis riwayat Thabrani]
“Jadilah kamu di dunia seakan-akan kamu sebagai orang asing atau penyeberang jalan.” [Hadis riwayat Bukhari]

Rasulullah SAW mengumpamakan orang yang hidup di dunia bagaikan orang asing atau orang yang menyeberangi jalan. Ayuh sama-sama kita fikirkan dan telusuri sifat-sifat yang dimiliki oleh orang yang hidup di perasingan atau penyeberang jalan ini. Pertamanya mereka mampu untuk hidup sendiri, berdikari tanpa banyak bergantung harap pada orang lain. Mereka penuh rasa harap dan takut, sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam setiap langkah yang diambil.

Mereka sentiasa memerhatikan keadaan di sekeliling, mencari mereka yang boleh dijadikan teman yang baik, menghindari permusuhan dan bersegera apabila punya peluang untuk berjalan atau melintas jalan dalam keadaan yang tenang. Pada masa yang sama mereka sentiasa berusaha mengikut peraturan yang ditetapkan dan tidak menimbulkan masalah pada diri sendiri jua pada orang di sekeliling.

Manusia tertipu dan berdosa

Seorang pemuda yang tidur selama 12 jam setiap hari, berteriak kepada rakan serumahnya, “Jangan kejutkan aku tengahari esok. Nanti aku bangun sendiri! Esok aku tak ada apa-apa untuk dibuat.”

Astaghfirullah. Na’uzubillahi min zalik. Mohon perlindungan dari Allah dari sedemikian rupa.

Tidakkah kita tahu bahawa membuang masa juga merupakan satu dosa? Umpama membunuh diri secara perlahan-lahan, tanpa seorang pun menyedarinya. Umpama penyakit kronik yang semakin lama jika tidak diubati semakin teruk dan boleh jadi barah yang merebak kepada umat!

Seorang ‘alim ditanya oleh dua orang pemuda, “Apakah aurat pemain bola boleh diperlihatkan ketika pertandingan bola sepak sedang berlangsung?”

Lalu ‘alim itu menjawab, “Setahu saya aurat Islam telah lama tersingkap sejak puluhan tahun yang lalu. Namun saya tidak menemukan seorang pun yang merasa terganggu!”

Jawapan ini bukan untuk mengecilkan urusan fiqh atau mengabaikan satu perkara dalam islam. Tetapi jawapan ini menunjukkan perlunya ada perhatian pada perkara yang lebih besar! Urusan yang paling banyak kepentingannya pada Islam dan umat Muslimin itulah yang paling penting.

Mengisi waktu luang

Ramai orang memahami waktu lapang adalah ketika kita tidak melakukan apa-apa tugasan rutin yang kita kerjakan. Namun sebagai seorang pelajar muslim yang punya tanggungjawab kepada ijazah juga risalah, waktu lapang tidak terhad hanya kepada maksud di atas. Termasuk waktu lapang adalah ketika melakukan suatu aktiviti yang membolehkan aktiviti lain dilakukan pada masa yang sama.

Ketika beratur menunggu tiket atau makanan, antara waktu makan dan kuliah, menunggu tetamu, ketika di dalam kenderaan, musafir dan pelbagai aktivit lain lagi. Kata pepatah Melayu yang sepadan dengan idea ini, seperti “sambil menyelam minum air” dan juga pandai menggunakan strategi “serampang dua mata”.

“Aku tak tahu nak baca buku apa, macam banyak sangat je. Pening kepala lagi ada.” kata seorang rakan pada saya di awal cuti lalu.

Pendapat saya, sebagai permulaan telusurilah sejarah hidup Nabi Muhammad SAW. Kenalilah ahli keluarga dan para sahabat baginda. Ketahuilah tiap peperangan dan usaha penyebaran dakwah yang dilakukan baginda. Selidikilah siapa itu assabiqunal awwalun, asharal mubassyirina bil jannah dan kualiti-kualiti yang mereka miliki.

Fahamilah kelebihan ahlul badar dan kepentingan bai’atul aqabah, bai’atul ridhwan juga sulah hudaibiyah.
Baca dan lumatkan kisah-kisah peperangan Badar, Uhud, Ahzab/Khandaq, Khaibar, Mu’tah juga Hunain.
Tingkatkan semangat jihad dan semangat dalam diri dengan membaca kisah-kisah sahabat radiallahum ajma’in.

Perbaikilah juga bacaan al-Quran dan mulakan berjinak-jinak dengan maksud terjemahannya. Kenali makhraj huruf-huruf dan hukum-hukum tajwid dalam pembacaan. Lancarkan lidah dengan kalimah-kalimah Allah SWT. Jangan hadkannya pada majlis-majlis dan perkumpulan tertentu sahaja.
Waktu cuti dan lapang bukan untuk kerehatan akal, juga bukan semata-mata untuk membina tubuh badan, samada dengan banyak bersukan atau melayan nafsu makan. Gunakan waktu lapang ini dengan sebaiknya. Saya akhiri perkongsian ini dengan tulisan Amr Khaled buat renungan kita semua.

“Ayuh! Bangkit, bersegeralah dan berlumbalah dengan waktu, manfaatkan waktu anda.
Waktu adalah emas.

Tidak demi Allah! Waktu lebih berharga dari emas. Emas diperjual belikan.

Sedangkan waktu, jika sudah pergi tidak akan kembali lagi selamanya.

Jika waktu telah hilang, bererti usia anda juga telah hilang!’

Wallahua’alam.

Sumber:
1) Amr Khaled: Bangkitlah! Menuju Perubahan Hidup Lebih Sukses
2) Syarah Lengkap: Refleksi 40 Hadis Muwasofat Tarbiah
Glosari:
1) assabiqunal awwalun = golongan muslim terawal
2) asharal mubassyirina bil jannah = 10 sahabat dijamin masuk syurga
3) sulah hudaibiyah = perjanjian hudaibiah

Oleh: Mus’ab Umair Hassan
Pengerusi ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand

Monday, July 12, 2010

Temubual Ekslusif Bersama Saudara Baru Islam


Kota Bharu: 10 November 2009, jam 7.15 malam, selepas solat maghrib berjemaah, Unit Media ISMA Kelantan (MI) telah mengadakan temubual dengan seorang saudara baru Islam yang baru memeluk Islam bernama Muhammad Syazwan Bin Menon Abdullah. Beliau berketurunan India dan baru dua tahun memeluk agama yang murni ini yakni Islam. Berikut adalah temubual antara MI dan akhi Syazwan (MS) :

Gambar akhi Muhammad Syazwan Bin Menon Abdullah

MI : Assalamualaikum.

MS : Alaikassalamwarahmatullahiwabarakaatuh.

MI : Apa khabar saudara?

MS : Alhamdulillah. Sihat walafiat.

MI : Pertama sekali bolehkah saudara ceritakan serba sedikit tentang latar belakang saudara
dan keluarga saudara?

MS : Bismillahirrahmaanirrahiim. Nama saya Muhammad Syazwan bin Menon. Sekarang saya berumur 21 tahun. Saya berasal dari Pulau Pinang. Saya lahir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tinggal di sana bersama keluarga sehingga saya berumur 18 tahun. Kemudian saya berhijrah ke Kelantan dan dengan izin Allah saya telah berhijrah ke Mesir untuk mendalami ilmu di sana. Seterusnya saya menetap di Mesir selama dua tahun bersama ikhwah (ISMA) di sana dan alhamdulillah sekarang ini saya berada di tanah air Malaysia selama seminggu.

Akhi Syazwan Ketika Ditemubual Oleh Unit Media ISMA Kelantan

MI : Apakah perkara yang membuatkan saudara tertarik untuk masuk agama Islam?

MS : Sebelum itu sebenarnya saya lebih gemar untuk menggunakan perkataan `kembali kepada fitrah’ berbanding perkataan `masuk Islam’ kerana semua orang sebenarnya dari sudut fitrah adalah berasal daripada Islam. Bagi saya perkataan `masuk’i ni telah digunapakai oleh orang kristian untuk mengelirukan kita.

Jadi ceritanya bermula apabila saya berumur 15 tahun iaitu ketika berada di tingkatan tiga. Saya mula mencari tentang Islam sejak akhir tingkatan tiga dan pencarian saya ini berterusan selama tiga tahun. Saya mula meneliti tentang Islam ini apabila seorang kawan saya yang beragama Islam bertanyakan saya tentang agama Hindu.

Beliau bertanya "mengapa dalam India sembah banyak tuhan”?. Saya terkejut juga dengan pertanyaan itu. Jadi dengan nada seolah-olah mempersenda saya menjawab” Allah tuhan, Muhammad pun tuhan”. Lalu kawan saya itu tanpa kelihatan marah menjawab ”sebenarnya Allah saja tuhan dan Muhammad adalah Rasulullah”.

Mendengarkan perkataan Rasulullah hati saya terasa seolah tertarik kerana ini pertama kali saya mendengar pekataan Rasulullah. Sebenarnya perkataan Muhammad Rasulullah lah yang membuatkan hati saya tertarik dengan agama Islam ini. Kalau mangikut agama hindu manusia pun boleh jadi tuhan atau dewa. Jadi barulah saya tahu hanya Allah saja Tuhan dalam agama Islam.

MI : Apakah perkara lain yang membuatkan saudara ingin mengenali Islam dengan lebih mendalam lagi ?

MS : Selain itu, saya juga berkawan dengan ramai orang Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar. Semenjak tingkatan 1,2 dan 3 kelas saya mempunyai pelajar yang berbilang kaum. Apabila masuk tingkatan 4 saya berpindah ke sekolah lain. Kelas saya mempunyai 20 orang dan 19 orang adalah berbangsa Melayu dan hanya saya seorang berbangsa India. Selain itu rumah saya juga berada dalam kawasan orang Melayu. Jadi apabila ada masyarakat Islam yang mengamalkan akhlak baik saya terasa ingin mengetahui tentang Islam dengan lebih mendalam lagi dan apakah yang membuatkan mereka mempunyai perangai yang mulia sedemikian.

MI : Seterusnya, apakah pendedahan awal yang anda peroleh daripada ajaran Islam ini?

MS : Saya banyak juga dapat pendedahan di sekolah. Di sekolah, ada pembahagian pembelajaran untuk orang bukan Islam. Biasanya di sekolah, apabila ada masa matapelajaran pendidikan Islam, orang bukan Islam akan belajar moral atau rehat. Jadi saya ni sebenarnya jenis orang yang tidak suka buang masa rehat. Jadi saya akan memasuki kelas pendidikan Islam. Sebenarnya saya ingin mencari siapakah sebenarnya Muhammad yang diagungkan sehinggakan rakyat di Malaysia menyambut hari kelahiran baginda dengan penuh meriah. Saya terus mengikuti kelas pendidikan Islam ini dan saya amat minat belajar sejarah Islamiyah.

MI : Jadi anda amat berminat tentang Muhammad lah?. Seterusnya bagaimanakah penerimaan orang lain apabila melihat anda berminat tentang Islam?

MS : Kawan saya amat sukakan apabila melihat saya tertarik dengan Islam. Mereka lebih rapat dengan saya dan banyak tolong saya. Saya juga mempunyai seorang cikgu dan kini saya memanggilnya dengan gelaran ummi. Beliau amat mengambil berat terhadap saya apabila saya berminat dengan Islam. Oleh itu, beliau membawa saya berjumpa dengan seorang pendakwah.

Pendakwah ini juga bekas kristian dan beliau juga adalah bekas paderi. Sekarang beliau bertugas dalam bahagian dakwah Islamiyah di Pulau Pinang. Beliau telah menjadi kaunselor saya di sana. Beliau juga telah menjelaskan konsep ketuhanan dalam kehidupan kepada saya. Setelah mendengarkan penerangan beliau saya secara automatik malafazkan kalimah syahadah di depan beliau.

Apabila saya menyebut LAAILAAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH fikiran saya terhadap ketuhanan yang sebelum ini dianggap banyak terus terpadam. Otak saya jadi kosong dan dalam kepala saya hanya terfikir LAAILAAHA ILLALLAH yakni tiada Tuhan selain Allah. Barulah saya tahu yang Tuhan hanyalah satu.

Selepas itu, saya terus pergi ke kuil, saya tanya patung yang saya sembah itu. Dengan nada hairan saya bertanyakan patung itu "kenapa bodoh sangat aku sembah kamu selama 18 tahun”.saya terus berfikir dan berfikir.

MI : Bagaimanakah cara anda masuk Islam?. Secara terbuka atau rahsia?

MS : Saya memeluk Islam secara rahsia selama 3 bulan. Ketika itu yang tahu saya peluk Islam hanyalah teacher saya, ayah angkat (Ustaz Zawawi) iaitu imam di masjid At-Taqwa, dan ahli kampung saya yang banyak menyokong dan mengajar saya tentang kaifiat mengerjakan solat, mengaji dan banyak lagi. Ketika itu ibu bapa saya masih belum mengetahui pengislaman saya.

MI : Selepas tiga bulan bagaimana keluarga anda mengetahui pengislaman anda?

MS : Selepas tiga bulan saya kantoi kat rumah. Kalau di sekolah di penang pada hari Sabtu ialah hari kokurikulum. Jadi ketika saya balik dari KoKo, mak bertanyakan saya ”mak dengar engkau masuk masjid, betul ke?”. Saya agak terkejut juga dengan soalan itu. Jadi saya cubalah sembunyikan. Selepas itu mak saya tarik saya pergi kat berhala dan letak tangan saya atas kepala berhala itu, beliau menyuruh saya bersumpah. Saya tidak pedulikan berhala itu sebab dia bukan tuhan saya. Jadi saya bersumpah jel ah bahawa saya tak masuk masjid.

Sebenarnya mak saya dah tahu saya masuk masjid tapi beliau berpura-pura buat tidak tahu. Disebabkan beliau tidak puas hati, beliau menarik tangan saya ke atas kepala beliau dan menyuruh saya bersumpah. Kalau mangikut kepercayaan orang Hindu, kalau sumpah orang itu palsu ketika tangan di atas kepala ibu, orang itu akan mati.

Jadi saya pun mengaku yang saya pergi ke masjid. Saya cuma cakap yang saya hanya mahu melihat orang mengaji. Mak saya masih tidak percaya dan mengatakan bahawa beliau tahu yang saya sembahyang dalam masjid. Beliau tanya saya "betolkah kau dah masuk Melayu?”. Pengetahuan bagi orang bukan Islam terhadap orang Islam adalah mereka melayu kerana mereka melihat agama Islam lebih ke arah kebudayaan. Jadi, mendengarkan pertanyaan itu, saya pun mengakulah dan mengatakan ”mak, maafkan saya mak. Saya dah masuk Islam.

MI : Apakah tindakan yang dilakukan oleh emak saudara selepas itu?

MS : Mak saya amat marah mendengarkan pengislaman saya. Selepas beliau mendengarkan ucapan pengislaman saya beliau terus memukul saya dengan penyapu sampai patah 3 penyapu itu.

MI : Selain itu, bagaimana penerimaan keluarga saudara terhadap pengislaman anda?

MS : Keluarga saya semuanya mengenepikan saya sebab nak menyuruh saya masuk Hindu balik. Saya juga turut dikurung dalam bilik selama beberapa hari sehinggakan saya tidak pergi ke sekolah. Saya juga turut buat rancangan untuk keluar rumah untuk mancari ketenteraman.

Akhirnya saya menggunakan Persatuan Rakan Muda yang saya sertai untuk keluar rumah. Ketika itu Kelab Rakan Muda menganjurkan aktiviti luar. Saya diberi izin keluar tapi dengan syarat yang banyak. Antaranya saya perlu sembahyang di kuil dengan sepenuhnya seperti sembahyang seorang pendeta.

MI : Apakah rancangan saudara jika keluarga saudara masih belum tahu lagi pengislaman saudara?. Adakah saudara mahu menyembunyikan pengislaman saudara untuk selamanya?

MS : Saya sebenarnya bercadang untuk terus merahsiakan pengislaman saya ini tapi dengan menunjukkan akhlak yang baik sehinggalah keluarga saya kagum dengan perubahan saya. Selepas itu barulah saya ingin mengaku pengislaman saya dan sekaligus mengajak mereka mengikut jejak saya. Tapi, tidak tercapai hasrat saya kerana saya dah kantoi awal sangat.

MI : Bagaimana penerimaan keluarga saudara sekarang ini?

MS : Sekarang Alhamdulillah keluarga saya dah boleh terima saya kerana di mesir saya sentiasa menelefon mereka dan bertanya khabar mereka dan menunjukkan akhlak yang baik sehinggakan jikalau saya tidak telefon ayah saya, ayah saya pula yang telefon saya. Saya juga cuba untuk mendakwah mereka malalui surat, tapi tidak berjaya. Sekarang baru saya tahu sebenarnya cara untuk berdakwah orang bukan islam bukan dengan cakap tapi kita perlulah menunjukkan akhlak yang baik depan mereka. InsyaAllah mereka akan terima Islam.

MI : Bagaimana kehidupan saudara sekarang ini selepas memeluk Islam?

MS : Perkara pertama yang saya rasa adalah kelegaan hati. Jika dulu semasa `jahiliyah’ hati saya terasa berat sangat. Tapi sekarang saya berasa amat tenang kerana saya ada satu yang boleh saya berpegang teguh iaitu Allah. Selain itu, jikalau dulu saya tidak suka sangat membaca buku, tp sekarang saya semakin minat membaca kerana saya perlu lebih banyak membaca untuk mendalami Islam.

MI : Apakah buku yang biasa saudara baca?

MS : Biasanya saya membaca buku yang Islamik seperti buku pemantapan aqidah dan saya suka membaca buku tentang cara berdakwah orang bukan Islam.

MI : Justeru, apakah matlamat saudara pada masa akan datang?

MS : Bagi saya perkataan matlamat adalah perkara yang mesti saya buat. Jadi matlamat saya yang utama adalah untuk mengislamkan semua ahli keluarga saya. InsyaAllah.

MI : Biasanya setiap perkara yang kita lalui pasti ada cabaran. Jadi apakah cabaran saudara sepanjang melalui kehidupan yang baru ini?

MS : Betul, setiap perkara pasti ada cabaran. Cabaran utama saya adalah ilmu. Saya tidak tahu Al-Quran, bahasa arab dan banyak lagi tentang Islam. Ilmu ini amat berat bagi saya. Tapi bagi saya berat bukanlah akan berat untuk selamanya. Oleh itu, saya pun pergi berhijrah ke Mesir untuk mendalami bahasa arab dan Al-Quran. Setakat ini Ahamdulillah saya sudah khatam Al-Quran beberapa kali dan boleh bertutur dalam arab. (Beliau telah khatam membaca terjemahan al-Quran sebanyak 4 kali. pent)

MI : Siapakah pembimbing saudara dalam menghadapi cabaran ini?

MS : Antara pembimbing saya adalah ayah angkat saya di sini Ustaz Zaidi Bin Muji (Bendahari ISMA Kelantan) ayah angkat di kampung Ustaz Zawawi dan mak angkat saya Puan Rosmawati, ikhwah muslimin, dan yang paling banyak bagi sumbangan dalam dakwah Dr.Syakirin.

MI : Apakah Badan NGO yang paling banyak membantu saudara?

MS : Saya paling berterima kasih kepada Ikatan Muslimin Malaysia ( ISMA ) terutamanya ISMA Kelantan, ISMA Mesir dan ISMA Pulau Pinang kerana paling banyak membimbing saya dari segi Islam, Aqidah, Ibadah, Al-Quran untuk terus kekal dalam Islam. Tanpa Badan ini mungkin saya dah kembali ke neraka. Nauzubillahiminzaalik.

Akhi Syazwan Tersenyum Ketika Mengungkapkan Ucapan Terima Kasih Kepada Semua Yang Terlibat Secara Langsung Atau Tidak Langsung Dalam Proses Keislamannya

MI : Akhir sekali, apakah harapan saudara untuk masa akan datang?

MS : Setakat ini saya masih belum berpuas hati dengan diri saya. Saya rasakan ilmu yang saya ada amat sikit. Jadi saya akan terus menuntut ilmu dan akan mengambil STAM di sebuah sekolah di Perak. Saya juga berniat untuk jadi pendakwah bebas dan saya sukakan moto ini iaitu `jadi yang terbaik dan sentiasa terbaik’ untuk terus menaikkan semangat saya untuk menjadi insan mulia. InsyaAllah.

Saya juga berharap agar dapat berdakwah kepada rakan-rakan yang lama saya tinggalkan. Satu lagi saya lihat banyak orang Islam di Malaysia mempunyai nama Muhammad di depan, jadi saya harap biarlah kita jadi seperti Muhammad s.a.w sebagaimana kita letak Muhammad di depan nama kita dan menunjukkan kepada orang ramai bahawa inilah yang dibawa oleh Islam.

MI : Jadi, itulah sahaja temubual kita. Terima kasih atas kesudian saudara untuk ditemubual. Syukran yaa akhi. Saya harap saudara berjaya mencapai impian saudara. Barakallahufiika.

MS : InsyaAllah. Syukran.

MI : Assalaamualaikum

MS : Waalaikummussalam Warahmatullaahi Wabarakaatuh


Unit Media ISMA Kelantan