Wednesday, February 24, 2010

Maulidur Rasul 'Mencari cinta teragung'









Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Kelahiran Nabi jatuh pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.


 Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.


  Untuk kali ini mungkin kami (KRIM Kedah) boleh kongsikan bagaimana kita mahu melahirkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w :


1 - Melahirkan satu tekad dan cinta
Cuba bayangkan, adakah kita mempunyai idola yang telah meninggal dunia? tidak pernah kita berjumpa dengannya, atau cuba kita bayangkan kita lahir tanpa sempat melihat ibu dan ayah kita, padahal mereka pernah hidup, cuma kita tidak berkesempatan berjumpa dengan mereka, apakah perasaan anda?
Sudah tentu kita akan melahirkan rasa cinta, ingin berjumpa dan ingin berbakti kepada mereka walaupun tidak pernah berjumpa apatah lagi melihat wajah mereka, bahkan sudah pasti kita merasa bahagia mendengar kisah tentang mereka. Inilah yang patut kita lakukan pada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


2 - Mencontohi dan mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.
Orang yang mencintai Rasullullah adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran baginda s.a.w, ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya dan mengikut segala suruhan dan meninggalkan segala larangannya dalam perbuatan dan perkataan serta mendahulukan itu semua dari keinginan hawa nafsu.


3 - Banyak mengingati pengorbanannya.
Kerana orang yang mencintai sesuatu pasti akan selalu mengingati dan menyebut perihalnya.


4 - Menyampaikan salam dan selawat kepada Rasullullah s.a.w
"sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat kepada Nabi, Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya" (surah al Ahzab:56)


5 - Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada Rasullulah s.a.w. 










Kenapa Rasullullah s.a.w perlu dicintai dan sebagai idola buat ummat ini ?
Ini adalah kerana Rasullullah adalah insan yang sempurna diciptakan Allah zahir dan batinnya, dan Allah berfirman didalam alquran mengatakan pada diri Rasullulah itu suri teladan yang baik.
Telah berfirman Allah s.w.t. dadalam alquran bermaksud :


"katakanlah, jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan Allah maha pengampun lagi maha pengasihani" (ali Imran:31)


"dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia" (al Qalam:4)


"dan tidaklah kami mengutuskan engkau melainkan untuk memberi rahmat kepada sekalian alam" (al Anbiya:107)





Tidak ada cacat cela peribadi Rasullullah s.a.w dan hendaklah kita menjadikan Rasullullah sebagai idola dan suri teladan buat perjalanan kehidupan.


Wallahu `alam.

Tuesday, January 19, 2010

KEM C.U.D.I.P.T 2010

Halatuju selepas SPM ?

Pemilihan bidang ?

Pengurusan dan peluang biasiswa?

Cabaran di IPT ?

Kenali potensi diri !

Tips dan panduan Universiti dalam dan luar negara !

Ukhuwah dan berkenalan !

Segalanya di KEM C.U.D.I.P.T !!!

DAFTAR SEGERA !!!

Saudara Khalil : 013-4335561

Saudari Ku Hasna : 017-5941556

Saudara Amar : 012-2630700 (Perlis)

Rehlah KRIM Menutup Tirai 2009


Pantai Merdeka, 29 Dis. – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) negeri Kedah menutup tirai 2009 dengan mengadakan program Rehlah Ukhuwwah bertempat di Pantai Merdeka pada 29 Disember 2009 yang lepas. Seramai 30 orang peserta sekolah menengah sekitar negeri Kedah berjaya dikumpulkan dengan dibantu oleh 6 orang fasilitator yang terdiri daripada bekas pelajar STAM dan pelajar universiti yang sedang bercuti.

[Petikan Akhbar Sinar Harian]


Program bermula pada malam 28 Dis, para peserta mula berkumpul dan mendaftarkan diri di Tadika Tasnim Bestari, Alor Setar pada jam 9 malam. Sesi taaruf membuka tirai program pada malam itu dan disusuli dengan pengisian pertama bertajuk ‘Realiti Umat Kini dan Remaja Kita ‘. Intipati utama daripada slot itu ialah para peserta mendapat gambaran bagaimana umat Islam seluruh dunia amnya yang sedang ditindas dan dizalimi manakala remaja-remaja di Malaysia khususnya masih leka dan alpa dengan serangan-serangan pemikiran oleh barat yang berjaya mengaburi mata hati mereka. Seterusnya pengarah KRIM Kedah, saudara Syauqi membuat pengenalan KRIM kepada para peserta dengan tayangan multimedia aktiviti KRIM sepanjang tahun 2008 dan 2009. Para peserta diberi ruang untuk tidur seawal jam 11 malam untuk program seterusnya di Pantai Merdeka keesokan hari.


Perjalanan ke Pantai Merdeka bermula setelah para peserta selesai berqiamullail, solat subuh dan bacaan mathurat secara beramai-ramai. Semua peserta selamat tiba di destinasi kira-kira jam 9 pagi setelah melalui perjalanan hampir 100km dari Bandaraya Alor Setar. Setelah selesai mengemas kawasan dan bersarapan, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Zuhri selaku Pengarah YADIM zon utara. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan para peserta agar menjadi seorang remaja yang berguna, sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga berharap agar para peserta selalu mendekatkan diri dengan program-program yang bermanfaat seperti yang dianjurkan oleh KRIM.


Slot perbincangan bersama fasilitator menyusul selepas itu dengan para peserta membincangkan tajuk ukhuwwah. Banyak idea-idea bernas yang dilontarkan oleh para peserta tentang cara untuk merapatkan ukhuwwah di sesama Muslim.



Kemeriahan rehlah KRIM makin terserlah dan lebih ceria dengan aktiviti ‘bermain bola ikat kaki’. Permainan ini memerlukan kecekapan bertindak dan dalam masa yang sama perlu memahami rakan pasangan agar pergerakan menjadi lancer. Walaupun rata-rata peserta agak sukar untuk bergerak, kelihatan mereka begitu bersungguh-sungguh untuk meneruskan permainan, Moral paling penting yang diperoleh oleh para peserta dalam permainan bola tadi ialah mereka dapat memahami betapa pentingnya sifat saling membantu di antara satu sama lain.


Setelah penat bermain, para peserta bekerjasama untuk menyediakan makanan tengahari berkonsepkan BBQ bersama fasilitator dalam kumpulan. Sambil membakar ayam, para peserta mengambil peluang ini untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Selesai makan tengahari dan solat zohor berjemaah,para peserta dihidangkan dengan pengisian ringkas oleh motivator KRIM Kedah iaitu Tuan Haji Arif dengan tajuk ‘Alam’. Suasana Pantai Merdeka yang begitu indah bertambah serinya apabila Ustaz Arif mengajak para peserta melihat kejadian alam itu dengan mata hati, melihat pulau-pulau sekitar, pantai, burung-burung dan segala ciptaan tuhan yang begitu sempurna sifatnya. Beliau juga berharap agar para peserta sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan.



Walaupun agak keletihan, para peserta nampak begitu bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang seterusnya iaitu permainan ‘ pijak belon dikaki’. Permainan ini memerlukan kepantasan dan kepekaan dalam menyerang dan bertahan agar tidak silap menyerang rakan sendiri. Suasana kegembiraan jelas kelihatan dengan gelak ketawa para peserta dan fasilitator melihat gelagat rakan-rakan yang bermain.


Aktiviti terakhir adalah aktiviti yang paling dinanti-nantikan peserta iaitu mandi laut. Peruntukan masa 20 minit yang diberikan untuk membasahkan badan dalam laut di Pantai Merdeka nyata tidak mencukupi namun kualiti masa selama 20 minit itu digunakan sebaik mungkin oleh para peserta untuk meningkatkan lagi tahap ukhuwwah yang sudah terjalin sejak awal program rehlah ini.



Para peserta mula bergerak pulang selepas selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah di sebuah masjid berhampiran dengan Pantai Merdeka. Semoga program rehlah ini mampu menjadi saksi keakraban ukhuwwah yang berjaya dibina di kalangan para peserta.


Kata-kata Assyahid Hasan Albanna :



“…angkatan pemuda, sejak dahulu hinggalah sekarang tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat”


Habib bin Abdul Fisol


Pengarah Program


Rehlah KRIM 2009

“Puteriku Sayang” Suntik Semangat Remaja Muslimah


Alor Setar, 23 Dis.- Bertemakan “Seindah Mawar Berduri”, program “Puteriku Sayang” telah berjaya menyuntik semangat para remaja untuk menjadi muslimah sejati dan membentuk peribadi muslim yang sebenar. Program yang bertempat di Tadika Tasneem Bestari Alor Setar ini telah mengumpulkan 30 orang remaja muslimah dari seluruh negeri Kedah termasuk Alor Setar, Sungai Petani dan Jitra.


Program dimulakan dengan Pengenalan KRIM kepada para peserta diikuti dengan sesi taaruf. Walaupun datang dari tempat yang berbeza, para peserta mudah mesra di antara satu sama lain terutamanya selepas beberapa aktiviti ‘ice breaking’ dijalankan. Seterusnya mereka dibahagikan kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama ditugaskan untuk membakar ayam, kumpulan kedua pula memasak nasi serta membancuh air dan kumpulan tiga memasak sayur serta air asam. Setiap peserta tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan kemahiran memasak mereka.




Para peserta diajar mengikut sunnah Rasulullah makan di dalam talam dan ini memberikan pengalaman baru kepada kebanyakan daripada mereka. Usai berkelah dan solat Zohor berjemaah para peserta diajak beralih dari suasana santai dan riang ria kepada sesi yang lebih serius.

                                                                          
 [Hati-hati mula tersentuh]


Bermula dengan tazkirah ringkas oleh Ukhti Hasra, hati mereka diketuk untuk berubah dan berhijrah ke arah yang lebih baik. Pengisian seterusnya mengajak para peserta menghayati lirik lagu “Puteriku Sayang” dan menyeru meraka untuk menjadi seindah mawar berduri. Suasana penuh keinsafan diteruskan lagi dengan persembahan tayangan video yang turut menyuntik semangat mereka untuk menjadi muslimah sejati.

    
        [Puteriku sayang..seindah mawar berduri]


Kemudian para peserta diberikan dua helaian kertas kecil dan diminta menulis dosa-dosa yang pernah dilakukan dan ikrar mereka untuk berubah. Kertas yang ditulis dosa-dosa dikoyak dan dibuang ke dalam tong sampah sebagai simbolik yang mereka membenci dosa-dosa itu dan tidak akan mengulanginya lagi. Kertas ikrar pula disimpan untuk mengingatkan mereka selepas ini. Terdapat peserta yang berani melafazkan ikrar mereka di hadapan semua peserta dengan penuh semangat “..saya akan berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik, taat kepada ibu bapa dan menjadi muslimah solehah..”

[Berjanji takkan ulang lagi dosa2 ini]


Program “Puteriku sayang” melabuhkan tirai selepas solat Asar. Semoga para peserta berjaya merealisasikan ikrar mereka dan menjadi wanita solehah yang seindah mawar berduri di taman larangan..cantik dipandang namun untuk dipetik sesuka hati sukar sekali..Aduhai puteriku sayang..kau bunga terpelihara, mahligai syurga itulah tempatnya!


TAUTAN HATI 2 KEMBALI MENEMUI REMAJA MUSLIMAH!


Tasik Darulaman, Jitra 12 Disember- KRIM cawangan Kedah sekali lagi berjaya menganjurkan program cuti sekolah “Tautan Hati 2” bertemakan “apa yang penting..KERJASAMA!” Program ini merupakan siri kedua yang mendapat permintaan ramai selepas “Tautan Hati” yang berlangsung pada 12 Jun yang lalu.
Program separuh hari yang masih mengekalkan konsep santai ini berjaya menghimpunkan para pelajar muslimah dari pelbagai sekolah seperti Maktab Mahmud Alor Star, Maktab Mahmud Pokok Sena, SMK Jitra, SM Teknik Alor Star, SMK Seri Ampang, SMK Tun Sharifah Rodziah dan sebagainya. Rata-rata peserta mendapat informasi daripada rakan-rakan yang pernah menghadiri program “Tautan Hati”. Apa yang lebih mengharukan, terdapat seorang peserta dari MRSM Merbok yang pada asalnya datang untuk riadhah bersama keluarga namun tertarik dengan program dan terus bersama-sama menyertai program ini.



Seperti biasa, program dimulakan dengan sesi “ice breaking” memandangkan para peserta mempunyai latar belakang yang berbeza. Setelah “ice breaking” para peserta semakin mesra di antara satu sama lain. Mereka juga dikehendaki mengundi nama rakan-rakan yang akan menerima bingkisan hati daripada mereka pada akhir program.
Acara yang paling ditunggu-tunggu ialah sukan air. Walaupun letih dan lenguh kaki mengayuh bot, namun para peserta kelihatan gembira sekali. Dalam keriangan, ajk tidak lupa menyelitkan beberapa pengajaran yang diperoleh daripada aktiviti ini seperti memupuk sifat sabar, kerjasama dan memiliki matlamat serta halatuju dalam setiap tindakan.



Usai melepaskan lelah, program diteruskan dengan aktiviti “team building”. Para pesrta dibahagikan kepada dua kumpulan. Bertepatan dengan temanya iaitu apa yang penting..KERJASAMA! beberapa aktiviti dijalankan bagi memupuk kerjasama di antara para peserta. Kemudian, tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Ukhti Suriani..akhawat Australia yang sudi memeriahkan program KRIM.



Program “Tautan Hati 2” diakhiri dengan perkelahan di tepi tasik. Sebelum bersurai, setiap peserta menerima bingkisan hati yang berbentuk surat dari kalangan mereka sendiri.
Walaupun program ini tidak memakan masa yang lama, namun diharapkan para peserta mendapat pengajaran daripada setiap aktiviti yang dijalankan. Semoga ukhuwah yang terjalin akan terus bersemi buat selamanya..InsyaAllah.