Tuesday, January 19, 2010

REHLAH KRIM


Tanggal 12 Jun 2009 bersempena dengan cuti sekolah, KRIM Kedah telah menganjurkan program “Tautan Hati“ bertempat di Taman Tasik Darulaman, Jitra. Dengan bertemakan ‘Tautan di hati, Ukhuwwah bersemi’, program santai ini telah mengumpulkan para remaja daripada pelbagai latar belakang dan sekolah. Aktiviti-aktiviti menarik telah diselitkan bagi membina ukhuwwah di kalangan para peserta dan juga AJK.


Seawal jam 8.00 pagi, para peserta telah berkumpul, mendaftar dan diberi masa untuk sarapan pagi terlebih dahulu. Kemudian, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan serta tazkirah ringkas mengenai ukhuwwah. Untuk memecahkan benteng yang menghalang interaksi di antara para peserta, sesi ‘ice-breaking’ diadakan. Para peserta diminta mengingati nama dan sekolah setiap peserta, kemudian tanpa mengeluarkan suara mereka diminta menyusun diri masing-masing mengikut turutan abjad. Setiap kesalahan yang berlaku, semua peserta didenda dan diminta membetulkan urutan dalam masa yang ditetapkan. Ternyata, aktiviti ini telah berjaya mendekatkan jurang yang memisahkan mereka.

Acara diteruskan lagi dengan membahagikan para peserta kepada 3 kumpulan. Beberapa permainan yang melibatkan kerjasama dan ukhuwwah telah menautkan lagi hati-hati para peserta. Setiap permainan yang diadakan mempunyai objektif yang tersendiri dan peserta diminta memberi komen usai setiap permainan tersebut. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka tak kurang juga yang kepenatan terutama selepas permainan terakhir iaitu menjaga ‘amanah’ masing-masing.


Program dirancakkan lagi dengan acara sukan air yang ditunggu-tunggu. Terik mentari langsung tidak menggugat keriangan para peserta. Masing-masing ‘mengayuh’ bot menyusuri tasik di samping menghayati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Walaupun kaki terasa lenguh tetapi rata-rata peserta berasa gembira dan bersemangat memandangkan itu merupakan pengalaman pertama mereka.

Usai aktiviti sukan air, para peserta berkumpul untuk acara kemuncak iaitu bertukar-tukar hadiah yang diselang selikan dengan teka-teki. Setiap peserta dan AJK mencabut nombor masing-masing dan menerima hadiah mengikut nombor yang telah diperolehi. Walaupun acara ini berjalan dalam suasana yang sangat sederhana namun ia tetap meriah dan yang paling penting adalah keikhlasan setiap peserta dalam memberi dan menerima hadiah masing-masing. Kemudian, setiap peserta dan AJK diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing berkenaan program “ Tautan Hati “ ini. Sebelum pulang, perut diisi terlebih dahulu dengan makan tengah hari yang telah disediakan dan seperti yang dirancangkan program berakhir pada jam 12.00 tengah hari.


Alhamdulillah..walaupun program ini hanya mengambil masa yang singkat, diharapkan para peserta mendapat manfaat yang sewajarnya. Semoga tautan di hati ini membawa kepada berseminya sebuah ukhuwwah dan akan terus bersemi serta mekar selamanya.. InsyaAllah.


Ku Hasna Zayani Ku Zainol Abidin


Pengarah Program Tautan Hati


KRIM Kedah

No comments:

Post a Comment