Tuesday, July 6, 2010

Mahkota Akhlak

Akhlak merupakan pendorong bagi menjauhi perkara-perkara yang buruk. Ia juga menjadi penghalang daripada mengurangkan hak-hak mereka yang berhak.
Pemilik akhlak akan ditimpa perubahan akibat takut malu kepada Allah dan manusia. Ia merupakan satu perasaan yang hidup yang dapat mengangkat jiwa seorang insan daripada melakukan kesalahan atau dosa. Dengan akhlak kita akan merasa tercelanya perkara-perkara yang hina. Akhlak ini akan lahir dalam diri seorang insan apabila dia mengetahui bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhatikannya. Sesungguhnya akhlak malu itu merupakan mahkota kepada akhlak.
 
Malu itu sebahagian daripada iman 
Iman mempunyai pelbagai cabang, ketikamana Rasulullah s.a.w menyatakan bilangan cabang-cabang iman, hanya akhlak malu disebut secara khusus. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Iman itu mempunyai tujuh puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman.”(hadith riwayat Muslim). Dan dalam riwayat yang lain Baginda bersabda “ Iman itu mempunyai enam puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman.” (hadith riwayat Al-Bukhari)

Malu itu akhlak Islam
Akhlak malu telah disebut secara khusus tanpa cabang-cabang yang lain daripada cabang iman kerana ia merupakan akhlak Islam yang paling penting. Sabda Rasulullah s.a.w : “Bagi setiap agama itu akhlaknya dan akhlak Islam itu malu”(hadith riwayat Malik). Para sahabat tertarik dengan akhlak malu yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah merupakan seorang yang teramat malu. Daripada Abi Said Al-Khudri r.a berkata bahawa : “Rasulullah s.a.w itu lebih malu daripada perawan dalam tempat persebunyiannya”.(hadith riwayat Al-Bukhari).

Malu itu neraca amalan
Malu itu merupakan suatu neraca. Manusia mengetahui kebaikan suatu amalan dengan pelbagai jenis neraca. Diantara neraca tersebut ialah malu. Kita akan mendapati mereka yang menggunakan neraca malu tidak akan menerima suatu amalan yang menyebabkan mereka berasa malu. Sesungguhnya apabila mereka ingin melakukan sesuatu mereka akan melihat pada diri mereka, sekiranya mereka berasa malu mereka tidak akan melakukannya, dan sekiranya sebaliknya mereka akan melakukannya. Apabila seseorang hilang malu, maka dia akan melakukan apa yang ingininya dengan sesuka hatinya. Daripada Abi Mas’ud Uqbah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.”(hadith riwayat Al-Bukhari).

Malu itu semuanya baik
Jika disana terdapat akhlak yang semuanya baik,itulah dia malu. Daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Malu itu semuanya baik (akibatnya)” atau baginda bersabda “Malu itu baik semuanya (akibatnya).”(hadith riwayat Muslim). Perasaan takut yang lahir daripada sifat malu tidak dianggap sebagai pengecut. Mereka yang malu lebih rela darahnya tumpah daripada jatuh airmukanya. Inilah kemuncak berani. Takut yang lahir daripada sifat malu bukanlah suatu kekurangan kerana dia hanya takut kehilangan kemuliaan dan keindahan dirinya. 

Malu itu suatu perhiasan
Terdapat perkara-perkara yang menambahkan kecantikan sesuatu apabila diiringinya. Diantara perkara tersebut ialah malu. Ia menghiasi setiap perkara yang diiringinya. Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w : “Tidaklah sesuatu perkara yang diiringi kekejian itu kecuali ia akan menodainya, dan tidaklah sesuatu perkara yang diiringi malu kecuali ia akan menghiasinya.”(hadith riwayat At-Tirmidzi) 

Hilang malu penyebab kebinasaan
Hilang malu merupakan sesuatu yang amat ditakuti oleh para salafussoleh. Bagi mereka ia merupakan salah satu daripada punca kebinasaan. Ini berpandukan kepada sabda Rasulullah.s.a.w : “Sesungguhnya apabila Allah ingin membinasakan seorang hamba dicabut darinya perasaan malu, setelah tercabut perasaan malunya tidak akan menimpanya kecuali perkara yang amat dibenci (oleh Allah), setelah itu tercabut pula sifat amanah darinya, setelah tercabut sifat amanah dari dirinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang pengkhianat, setelah itu tercabut darinya sifat rahmah, setelah tercabut sifat rahmah darinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang yang celaka dan dilaknat (dijauhkan), setelah itu dia tercabut dari simpulan Islam.”(hadith riwayat Ibnu Majah).

Malu lelaki dan wanita
Malu itu dituntut kepada lelaki dan perempuan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w melintasi seorang lelaki ansar yang sedang sedang menasihati saudaranya tentang hal sifat malu - yakni malu mengerjakan kejahatan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda : "Biarkanlah ia, sebab sesungguhnya sifat malu itu termasuk dari keimanan."(hadith riwayat Al-Bukhari).

Namun fitrah wanita menjadikannya lebih malu, oleh itu perkara yang mencemarkan malu seorang wanita itu lebih daripada lelaki. Sekiranya malu seorang lelaki zahir secara praktikal dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh mengaibkannya begitu juga wanita malah lebih lagi. Seorang wanita yang pemalu tidak akan merenung kepada sesiapa yang berbicara dengannya. Dan ketawanya hanyalah dengan senyuman apabila dengan kehadiran orang asing, dan tidak ketawa terbahak-bahak. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukannya walaupun dia seorang lelaki. Daripada Abdullah bin Harith bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah ketawa kecuali dengan senyuman.”(hadith riwayat At-Tirmidzi). Dan wanita apabila ingin membeli perhiasan peribadinya (pakaian dan lain-lain), perasaan malunya akan menghalangnya daripada membeli daripada penjual lelaki. 

Kami golongan yang praktikal
Setiap perkara berkaitan dengan malu yang telah disebutkan haruslah menjadi tugasan amali setiap individu. Kita perlu menetapkan suatu tempoh yang tertentu untuk sentiasa menilainya dalam diri kita. Semoga kita dapat memastikan bahawa akhlak malu hadir dalam tingkahlaku kita. 

Semoga semua tugasan amali ini menjadi tarbiyah dan latihanuntuk diri kita sepanjang tempoh ini. Semoga malu menjadi akhlak kita dan sentiasa mendampingi kita. Kita kena cuba untuk menghafal hadith-hadith yang telah disebutkan sekadar mampu. Ia akan membantu kita menegaskan lagi makna-makna tersebut dalam diri kita.Ia juga dapat membantu kita menyampaikannya kepada manusia yang lain. Suatu kewajipan bagi kita untuk menyampaikan kepada semua muslimin dan muslimat.

No comments:

Post a Comment