[Peserta Jambori Kedah]
Hari kedua program, peserta telah bangun seawal jam 4 pagi untuk melaksanakan solat tahajjud berjemaah. Bacaan ma’thurat mengambil tempat selepas solat subuh dan dibaca beramai-ramai secara berkumpulan. Selepas senaman pagi dan latihan kawad, para peserta diuji ketahan fizikal mereka dengan mendaki Gunung Angsi yang terletak bersebelahan dengan tapak jambori. Selepas solat Zohor dan makan tengahari, diadakan pertandingan kawad, membina kubu dan memasak. Kreativiti dan bakat terpendam para peserta berjaya dicungkil dalam ketiga-tiga pertandingan yang dijalankan ini dan para peserta begitu bersemangat bagi memastikan kumpulan masing-masing memenangi pertandingan yang dijalankan. Pada sebelah malam hari kedua, para peserta diberi peluang untuk berbincang tentang persembahan kumpulan masing-masing dalam Malam Kesenian Islam yang bakal diadakan pada keesokan malam. Slot ringkas bersama ’lilin’ juga turut diadakan pada malam tersebut.
Senaman pagi pada hari ketiga turut diadakan seperti pada hari kedua. Selesai sarapan pagi, para peserta mula bergerak ke luar tapak jambori untuk menyertai aktiviti amal khidmat masyarakat di masjid dan tanah perkuburan berhampiran dengan memakai baju jambori. Selepas solat Zohor, diadakan tiga pertandingan sukan iaitu war game, ball game dan water game. Ketiga-tiga permainan tersebut nyata memberi satu pengalaman baru kepada para peserta dan semangat kesukanan yang ditunjukkan ternyata membanggakan para urusetia walaupun setiap kumpulan berusaha untuk memenangi setiap pertandingan yang dipertandingkan. Malam Kesenian Islam yang diadakan pada sebelah malamnya yang turut dihadiri oleh Presiden ISMA dipenuhi dengan 1001 mesej dan iktibar untuk para remaja. Mesej yang disampaikan secara spontan melalui sketsa dan nasyid oleh setiap kumpulan peserta yang kebanyakannya berkisar tentang permasalahan remaja masa kini berjaya menambat hati para hadirin dan seterusnya meningkatkan kesedaran para remaja akan peri pentingnya menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia demi mencapai kejayaan di dunia mahupun akhirat. Kumpulan Huzaifah dari negeri Kedah yang menamatkan persembahan mereka dengan bacaan doa yang penuh syahdu oleh saudara Fuad berjaya menggondol tempat kedua untuk malam kesenian tersebut.
Pagi hari keempat, aktiviti dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah dan diikuti dengan bacaan ma’thurat secara berkumpulan. Slot tazkirah subuh diisi oleh Cikgu Ismail yang juga merupakan pengarah KRIM negeri Johor. Tazkirah yang berkisar tentang hati yang disampaikan secara bersahaja dan deselang-seli dengan aktiviti ringkas itu berjaya menarik minat semua peserta dan urusetia. Selesai bersarapan, perunding Aman Palestin, Prof. Madya Dr. Zainurrasyid mengisi slot seterusnya yang banyak berkisar tentang perjuangan remaja di Palestin dalam membebaskan tanahair mereka.
Majlis punutup Jambori Remaja Muslim Nasional 2009 pula disempurnakan oleh wakil pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Turut hadir dalam majlis penutup tersebut ialah Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden ISMA dan ketua kampung juga merangkap imam masjid Ulu Bendul. Pasukan kawad KRIM Kedah selaku johan kawad jambori kali ini turut diberi penghormatan untuk diperiksa perbarisan oleh wakil JHEAINS. Selain ucapan perasmian penutup, penyampaian hadiah juga diberikan kepada semua pasukan berdasarkan ranking keseluruhan jambori. Pasukan Huzaifah berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan daripada 12 pasukan dan lebih membanggakan, saudara Fadhil yang mewakili KRIM Kedah telah dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan untuk jambori kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua peserta amnya dan pasukan KRIM Kedah khususnya.
KRIM Kedah mengucapkan tahniah kepada barisan urusetia jambori yang berjaya mengendalikan perjalanan jambori dengan begitu baik dengan dibantu oleh hampir 20 orang fasilitator berpengalaman dari Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang rata-ratanya merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi tempatan. Kepada adik-adik peserta khususnya dari Kedah, kami mengharapkan ukhuwwah yang terjalin sesame peserta dapat diteruskan dan dirapatkan lagi dan sentiasa bersedia menzahirkan motto KRIM dalam kehidupan harian iaitu ‘ motivasi, iltizam, jatidiri ‘.
Mohd Khalil Hashim
Penolong Pengarah
KRIM Kedah
No comments:
Post a Comment