Jitra, 4 Mac – Peristiwa kelahiran Rasulullah ke dunia menjadi satu detik yang amat penting dalam sejarah Islam. Ini kerana, kelahiran Rasulullah itu menandakan kelahiran seorang tokoh yang paling hebat di dunia yang akan merubah segala kejahilan yang wujud pada zaman tersebut kea rah yang positif dan kesan positif tersebut dapat dirasai hingga ke hari ini. Kelahiran Rasulullah ini juga dibawa bersama dengan ajaran Islam yang mula disampaikan oleh Rasulullah setelah baginda diangkat menjadi rasul.
Bersempana dengan peristiwa kelahiran Rasulullah tersebut, pihak pengurusan asrama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra (SMKJ) telah menjemput KRIM untuk menyampaikan ceramah khas. Objektif diadakan ceramah tersebut adalah untuk mengembalikan ingatan kita umat akhir zaman terutamanya para pelajar asrama SMKJ terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah saw. Dengan mengingatinya akan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya.
Ustaz Kashfi bin Ali yang juga merupakan pakar rujuk agama KRIM Kedah telah mewakili KRIM untuk menyampaikan ceramah tersebut. Ceramah yang disampaikan dengan penuh semangat telah dihadiri lebih daripada 300 orang pelajar dan majoriti pelajar adalah pelajar puteri. Beliau antara lain mengajak para pelajar untuk menghayati sirah perjuangan Rasulullah yang diuji dengan pelbagai rintangan yang kadang-kadang tak tergambar dengan pemikiran logik manusia. Seterusnya beliau menyeru para pelajar untuk mempraktikkan semaksimum mungkin keperibadian Rasullah dalam kehidupan harian sebagai seorang pelajar.
Disediakan oleh,
Zaihasra binti Jusoh
Ahli Jawatankuasa KRIM Kedah
No comments:
Post a Comment