Saturday, July 10, 2010

Risalah Khas Sempena Isra’ dan Mi’raj

Ayuh Solat !

Peristiwa Isra’ dan Mi’jra’ yang disambut setiap tahun amat sinonim dengan ibadat solat, yang merupakan satu-satunya ibadat yang difardhukan secara langsung oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan Malaikat. Lantaran itu, solat mendapat kedudukan yang istimewa dalam Islam. Solat adalah penghubung hamba dengan Tuhannya, penghapus dosa dan pendinding daripada maksiat, serta keselamatan daripada azab kubur dan azab neraka. Rasulullah SAW pernah menyifatkan solat sebagai ciri pembeza di antara Islam dan kekufuran. Sabda baginda SAW yang bermaksud:

“Perbezaan antara seseorang dan kekafiran ialah dengan meninggalkan solat ” (Riwayat Imam Muslim)


Solat, kefardhuan yang tiada tolak ansur

Solat merupakan ibadat tetap yang tidak luput kefardhuannya dalam apa jua keadaan. Ia mesti ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf, tidak kira sama ada ketika ia sihat atau sakit, semasa lapang atau sibuk, musafir atau muqim, kaya atau miskin, raja atau rakyat biasa, semasa aman atau perang dan sebagainya. Oleh kerana itu, solat merupakan tiang seri bagi agama Islam. Kefardhuan solat ini jelas berbeza dengan ibadat-ibadat fardhu yang lain. Sebagai contoh, ibadat haji hanya wajib kepada orang-orang yang berkemampuan, manakala zakat pula hanya wajib bagi orang-orang Islam yang mempunyai harta, yang cukup nisab dan haulnya. Demikian pula dengan puasa, yang wajib dikerjakan oleh muslimin yang sihat dan mampu melaksanakannya.

Solat, penghubung hamba dengan Tuhannya

Solat adalah tali penghubung di antara seorang hamba dengan Allah SWT. Ia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:

“Janganlah kamu meninggalkan solat dengan sengaja kerana sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, penjagaan atau pemeliharaan Allah dan Rasul-Nya telah terlepas dari dirinya” (Riwayat Imam Ahmad)

Solat, penghapus dosa dan menjauhkan dari melakukan maksiat

Solat adalah penghapus dosa bagi hamba-hamba yang menzalimi diri mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang kamu lakukannya, Allah mengampunkan segala dosa dan meninggikan darjat kamu? Para sahabat menjawab; Ya wahai Rasulullah! Baginda menjawab; menyempurnakan wudhuk meskipun ketika sukar (seperti dalam keadaan terlalu sejuk), memperbanyakkan langkah ke masjid dan menunggu solat yang berikutnya setelah selesai solat sebelumnya, kerana yang demikian itu adalah perbuatan mewakafkan diri untuk melaksanakan ibadat yang berpanjangan” (Riwayat Imam Muslim)

Kita sering mendengar firman Allah SWT yang berikut setiap kali azan berkumandang di televisyen:

“Sesungguhnya solat itu mencegah kamu dari melakukan maksiat dan perkara mungkar” (Al-Ankabut: 45)

Adakah kita memahami maksud ayat yang agung ini lantas memeriksa solat yang kita tunaikan selama ini, adakah diterima oleh Allah SWT? Adakah solat yang kita tunai selama ini membawa perubahan pada tingkah laku dan akhlak kita?

Solat, keselamatan dari azab

Solat yang dilaksanakan dengan sempurna dapat menyelamatkan tuannya daripada seksaan kubur. Imam At-Tabrani telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bermimpi tentang seorang lelaki yang sedang diazab di dalam kubur, kemudian datang solat yang dikerjakannya lalu menyelamatkannya dari azab kubur tersebut.Begitu juga solat akan menjadi penyelamat pada hari Kiamat bagi sesiapa yang memelihara dan menjaganya semasa hidup di dunia. Dalam hubungna ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memelihara solat, maka solatnya akan menjadi cahaya, bukti (keimanan) dan menyelamatkannya pada hari Kiamat” (Riwayat Imam Ahmad)

Seterusnya, Rasulullah SAW telah memberi jaminan kepada umat Islam, bahawa mereka tidak akan dimasukkan ke dalam neraka sekiranya mereka sentiasa memelihara solat, terutamanya solat Asar dan solat Subuh. Sabda baginda SAW yang bermaksud:

“Pasti tidak akan masuk neraka seseorang bersembahyang sebelum terbit matahari (Subuh) dan sebelum matahari tenggelam (Asar)” (Riwayat Imam Muslim)



Ingatlah amaran Allah SWT!

Mari-marilah kita sama-sama hayati amaran tegas yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW terhadap orang-orang meninggalkan solat. Antaranya adalah Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang tidak solat, maka tiada agama baginya” (Riwayat as-Sayuti)

“Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka terhapuslah segala pahala amalannya” (Riwayat Imam Bukhari)

“Sesungguhnya apabila seseorang mukmin menunaikan solat, maka segala dosanya datang kepadanya lalu diletakkan pada bahagian kepala dan tengkuknya. Setiap kali dia rukuk dan sujud, segala dosanya itu akan jatuh berguguran”

“Perkara pertama yang dihisap terhadap seseoang hamba ialah solat. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya. Jika solatnya rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain” (Riwayat at Tabarani)

Oleh itu, sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kerajaannya, dia akan dibangkitkan bersama Fir’aun. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kementeriannya, dia akan dibangkitkan bersama Haman. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk menguruskan hartanya, dia akan dibangkitkan bersama Qarun. Begitu juga sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk mengendalikan perniagaannya, dia akan dibangkitkan bersama dengan Ubay bin Khalaf. Sedarlah kesemua mereka itu akan dimasukan ke dalam neraka.


Ayuh kita pelihara solat kita!

Ayuh wahai saudaraku! marilah kita semua menjaga dan memelihara solat dalam kehidupan seharian kita, kerana solat itu adalah tiang seri agama kita. Renungi sabda Rasulullah SAW:


As Solatu imaduddin, faman aqamaha faqad aqamad din, waman tarakaha faqad hadamad din

Maksudnya: “Solat adalah tiang seri agama, maka sesiapa yang menunaikan solat, maka sesungguhnya dia telah menegakkan agama, dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama”.

Sesungguhnya Islam itu telah dibina di atas solat, di samping mengucap dua kalimah syahadah, haji, puasa dan zakat.

Diterbit oleh :
Sekretariat Dakwah Dan Sosial
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
 

No comments:

Post a Comment