Saturday, February 26, 2011

Ceramah Khas SMS Kubang Pasu

Pada 18 Februari yang lalu bertempat di perpustakaan Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, telah berlangsung ceramah khas untuk semua pelajar tingkatan 5 sekolah tersebut bertajuk ‘Budaya Hidup di Sekolah Berasrama Penuh (SBP)’. Ceramah hampir 3 jam itu telah disampaikan oleh pengarah KRIM Kedah iaitu Tuan Haji Mohd Khalil bin Hashim dan juga ajk KRIM Kedah iaitu Saudara Muhamad Nabil Fikri. Tajuk ceramah ini dipilih oleh pihak sekolah kerana pihak sekolah ingin mencorakkan generasi awal sekolah dengan budaya positif yang sepatutnya diamalkan oleh warga SBP lebih-lebih lagi pelajar tingkatan 5 tahun ini adalah antara generasi terawal sekolah ini yang mula ditubuhkan pada tahun 2009.



Kedua-dua penceramah yang juga bekas pelajar SBP ini telah berkongsi pengalaman 5 tahun bersekolah di SBP dengan menerangkan kepada para pelajar akan budaya-budaya yang wujud di SBP dengan menjadikan beberapa SBP lain sebagai contoh ‘study case’. Soalan-soalan yang ditanyakan oleh para peserta kepada penceramah menunjukkan komitmen para pelajar untuk menjadi generasi perintis sekolah yang terbaik dengan menerapkan budaya positif di SBP untuk diturunkan kepada generasi mendatang.



Konsep MLM yang diungkapkan oleh penceramah ternyata membuatkan para pelajar teruja untuk menerapkan seberapa banyak budaya positif bagi diwariskan lepada para pelajar junior kerana saham awal yang disemai ini akan dapat dituai di akhirat selagi budaya positif tersebut dipraktikkan oleh generasi seterusnya.

Program ceramah yang turut dihadiri oleh kaunselor dan guru penasihat tingkatan 5 ini berjaya memberi gambaran yang berharga kepada para pelajar akan budaya yang sepatutnya diamalkan oleh warga SBP dan juga melahirkan rasa bangga kerana terpilih menjadi warga SBP yang diidamkan oleh ramai pelajar cemerlang di Malaysia.




Pihak KRIM Kedah mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu secara umumnya dan pelajar tingkatan 5 khususnya. Semoga pelajar tingkatan 5 tahun ini berjaya menjadi qudwah hasanah kepada pelajar-pelajar lain, insyaAllah.



No comments:

Post a Comment