Friday, March 25, 2011

Tautan Hati 3 kembali lagi!


               
               Pada hari Sabtu, 19 Mac yang lalu, pihak KRIM kedah telah berjaya menganjurkan program Tautan Hati 3 bertemakan ‘ukhuwwah bersemi, kasih terjalin’. . Program yang diadakan bertempat di Tasik Darulaman Jitra ini terbuka kepada semua pelajar muslimah terutamanya yang pernah mengikuti program KRIM sebelum ini. Objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan jalinan ukhuwwah di kalangan para peserta dan AJK , memperkenalkan KRIM dan membangkitkan kesedaran akan kepentingan hidup dalam bi’ah yang solehah.

                Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan ucapan alu-aluan diikuti tazkirah ringkas mengenai ukhuwwah yang disampaikan oleh Kak Mas. Kak Mas mengingatkan bahawa perlunya perasaan kasih sayang dalam berukhuwwah. Tiada ukhuwwah tanpa iman sepertimana tiada iman tanpa ukhuwwah. Setiap mu’min juga harus memastikan dirinya mendapat makanan rohani yang mencukupi.           
                
              Program ini diteruskan dengan sesi taaruf antara para peserta dan ajk. Para peserta dikehendaki mengingati nama, umur, sekolah, dan hobi setiap peserta.Melalui sesi taaruf ini, para peserta dapat berkenalan dengan lebih rapat antara satu sama lain dan secara tidak lansung menyemai ukhuwwah dan menjalin kasih.

                Acara seterusnya ialah ‘outdoor games’.  Beberapa permainan yang melibatkan kerjasama dan ukhuwwah menautkan lagi hati para peserta. Setiap permainan yang dijalankan mempunyai objektif yang tersendiri dan peserta diminta pendapat atau komen bagi setiap permainan tersebut. Walaupun keletihan, kegembiraan terpancar di wajah para peserta terutama selepas permainan terakhir iaitu ‘mengupas buah limau’. Dalam permainan ini, setiap kumpulan perlu memikirkan strategi untuk mengupas limau dengan syarat setiap peserta hanya boleh menyumbangkan satu jari sahaja. Usai mengupas buah limau, setiap peserta diminta menyuap buah limau kepada ahli kumpulan sambil menyebut “saya sayang awak kerana Allah”. Dalam keriangan tersebut, ajk tidak lupa menyelitkan beberapa pengajaran yang diperoleh daripada aktiviti ini seperti memupuk sifat kerjasama dan memiliki matlamat serta halatuju dalam setiap tindakan.
               
              Usai permainan, para peserta berkumpul untuk slot pengisian yang disampaikan oleh Ustazah Siti Rahmah. Pengisian yang berkisar tentang kebaikan biah solehah mengajak para peserta memilih persekitaran yang baik untuk berubah dan berhijrah ke arah yang lebih baik. Kisah-kisah pemuda hebat pada zaman rasulullah seperti Usamah bin Zaid disertai dengan dalil-dalil al-quran telah memberi kesedaran kepada para peserta untuk berusaha menjadi insan yang hebat di dunia dan akhirat.

                Sebelum pulang, para peserta dan ajk menjamu selera dengan makanan yang disediakan. Kemudian, setiap peserta diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing berkenaan program ‘Tautan Hati 3’. Setiap peserta menerima ‘souvenier’ daripada pengarah KRIM.  Program berakhir pada jam 11.30 pagi seperti yang dirancang. Walaupun program ini berjalan dalam suasana yang santai dan sederhana dalam masa yang singkat, ia tetap meriah. Diharapkan semua peserta mendapat pengajaran daripada setiap aktiviti yang dijalankan. Semoga ukhuwwah yang telah terbina terus bersemi buat selama-lamanya. InsyaAllah…
Ukhuwwah Bersemi, Kasih Terjalin

Disediakan oleh
Widad bt. Ab. Qais
AJK Dokumentasi Tautan Hati 3

No comments:

Post a Comment