Saturday, April 24, 2010

KRIM Kedah di SMSKP




Padang Perahu, 7 Mac – Menyedari betapa pentingnya para pelajar menguasai Bahasa Inggeris untuk bersaing di peringkat global, Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu (SMSKP) yang merupakan antara sekolah berasrama penuh terbaru di Malaysia telah melancarkan kempen menguasai Bahasa Inggeris. Tempoh kempen dijalankan sepanjang tahun 2010 dengan pelancaran kempen telah disempurnakan oleh wakil dari Jabatan Pelajaran Kedah.

Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Kedah telah diberi penghormatan untuk menyampaikan ceramah sempena majlis perasmian tersebut. Majlis ceramah tersebut yang dihadiri oleh semua pelajar SMSKP diadakan sejurus selepas majlis perasmian tersebut. Tuan Haji Muhamad Shakirin Shaari, pensyarah kanan UUM yang ditemani oleh isteri beliau, Puan Hajjah Salina Ismail yang juga merupakan pensyarah kanan UUM telah menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut untuk mewakili KRIM.

Antara isi penting yang ditekankan oleh Tuan Haji Muhamad Shakirin dalam ceramah beliau itu ialah para pelajar tidak seharusnya merasa malu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris bersama dengan rakan-rakan dan guru. Ini kerana Bahasa Inggeris bukan boleh dikuasai dengan pembelajaran selama beberapa hari sahaja tetapi perlu dipraktikkan setiap hari dalam pertuturan seharian supaya para pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Beliau juga turut berkongsi pengalaman beliau sewaktu sekolah menengah dan universiti untuk menambahkan minat para pelajar untuk belajar dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.





Menurut seorang pelajar yang ditemui selepas tamat sesi ceramah, ceramah seumpama ini mampu meningkatkan motivasi dan iltizam mereka untuk terus menguasai Bahasa Inggeris lebih-lebih lagi seorang anak kampung seperti penceramah yang berasal dari Sauk, Perak mampu melanjutkan pelajaran hingga ke Amerika Syarikat walaupun belajar dalam keadaan yang serba kekurangan.

“Kami mempunyai segala-galanya di sini. Semua kemudahan cukup selesa disediakan untuk kami. Apa yang penting adalah kemahuan kami sendiri. Semua sudah dibentangkan di depan mata”, ujar pelajar itu lagi.


Disediakan oleh,
Zaihasra binti Jusoh
Ahli Jawatankuasa KRIM Kedah

No comments:

Post a Comment