Saturday, July 10, 2010

Risalah Khas Sempena Isra’ dan Mi’raj

Ayuh Solat !

Peristiwa Isra’ dan Mi’jra’ yang disambut setiap tahun amat sinonim dengan ibadat solat, yang merupakan satu-satunya ibadat yang difardhukan secara langsung oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan Malaikat. Lantaran itu, solat mendapat kedudukan yang istimewa dalam Islam. Solat adalah penghubung hamba dengan Tuhannya, penghapus dosa dan pendinding daripada maksiat, serta keselamatan daripada azab kubur dan azab neraka. Rasulullah SAW pernah menyifatkan solat sebagai ciri pembeza di antara Islam dan kekufuran. Sabda baginda SAW yang bermaksud:

“Perbezaan antara seseorang dan kekafiran ialah dengan meninggalkan solat ” (Riwayat Imam Muslim)


Solat, kefardhuan yang tiada tolak ansur

Solat merupakan ibadat tetap yang tidak luput kefardhuannya dalam apa jua keadaan. Ia mesti ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf, tidak kira sama ada ketika ia sihat atau sakit, semasa lapang atau sibuk, musafir atau muqim, kaya atau miskin, raja atau rakyat biasa, semasa aman atau perang dan sebagainya. Oleh kerana itu, solat merupakan tiang seri bagi agama Islam. Kefardhuan solat ini jelas berbeza dengan ibadat-ibadat fardhu yang lain. Sebagai contoh, ibadat haji hanya wajib kepada orang-orang yang berkemampuan, manakala zakat pula hanya wajib bagi orang-orang Islam yang mempunyai harta, yang cukup nisab dan haulnya. Demikian pula dengan puasa, yang wajib dikerjakan oleh muslimin yang sihat dan mampu melaksanakannya.

Solat, penghubung hamba dengan Tuhannya

Solat adalah tali penghubung di antara seorang hamba dengan Allah SWT. Ia merupakan amalan yang paling disukai oleh Allah sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud:

“Janganlah kamu meninggalkan solat dengan sengaja kerana sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, penjagaan atau pemeliharaan Allah dan Rasul-Nya telah terlepas dari dirinya” (Riwayat Imam Ahmad)

Solat, penghapus dosa dan menjauhkan dari melakukan maksiat

Solat adalah penghapus dosa bagi hamba-hamba yang menzalimi diri mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang kamu lakukannya, Allah mengampunkan segala dosa dan meninggikan darjat kamu? Para sahabat menjawab; Ya wahai Rasulullah! Baginda menjawab; menyempurnakan wudhuk meskipun ketika sukar (seperti dalam keadaan terlalu sejuk), memperbanyakkan langkah ke masjid dan menunggu solat yang berikutnya setelah selesai solat sebelumnya, kerana yang demikian itu adalah perbuatan mewakafkan diri untuk melaksanakan ibadat yang berpanjangan” (Riwayat Imam Muslim)

Kita sering mendengar firman Allah SWT yang berikut setiap kali azan berkumandang di televisyen:

“Sesungguhnya solat itu mencegah kamu dari melakukan maksiat dan perkara mungkar” (Al-Ankabut: 45)

Adakah kita memahami maksud ayat yang agung ini lantas memeriksa solat yang kita tunaikan selama ini, adakah diterima oleh Allah SWT? Adakah solat yang kita tunai selama ini membawa perubahan pada tingkah laku dan akhlak kita?

Solat, keselamatan dari azab

Solat yang dilaksanakan dengan sempurna dapat menyelamatkan tuannya daripada seksaan kubur. Imam At-Tabrani telah meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bermimpi tentang seorang lelaki yang sedang diazab di dalam kubur, kemudian datang solat yang dikerjakannya lalu menyelamatkannya dari azab kubur tersebut.Begitu juga solat akan menjadi penyelamat pada hari Kiamat bagi sesiapa yang memelihara dan menjaganya semasa hidup di dunia. Dalam hubungna ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memelihara solat, maka solatnya akan menjadi cahaya, bukti (keimanan) dan menyelamatkannya pada hari Kiamat” (Riwayat Imam Ahmad)

Seterusnya, Rasulullah SAW telah memberi jaminan kepada umat Islam, bahawa mereka tidak akan dimasukkan ke dalam neraka sekiranya mereka sentiasa memelihara solat, terutamanya solat Asar dan solat Subuh. Sabda baginda SAW yang bermaksud:

“Pasti tidak akan masuk neraka seseorang bersembahyang sebelum terbit matahari (Subuh) dan sebelum matahari tenggelam (Asar)” (Riwayat Imam Muslim)



Ingatlah amaran Allah SWT!

Mari-marilah kita sama-sama hayati amaran tegas yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW terhadap orang-orang meninggalkan solat. Antaranya adalah Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa yang tidak solat, maka tiada agama baginya” (Riwayat as-Sayuti)

“Sesiapa yang meninggalkan solat Asar, maka terhapuslah segala pahala amalannya” (Riwayat Imam Bukhari)

“Sesungguhnya apabila seseorang mukmin menunaikan solat, maka segala dosanya datang kepadanya lalu diletakkan pada bahagian kepala dan tengkuknya. Setiap kali dia rukuk dan sujud, segala dosanya itu akan jatuh berguguran”

“Perkara pertama yang dihisap terhadap seseoang hamba ialah solat. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya. Jika solatnya rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain” (Riwayat at Tabarani)

Oleh itu, sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kerajaannya, dia akan dibangkitkan bersama Fir’aun. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk dengan kementeriannya, dia akan dibangkitkan bersama Haman. Jika seseorang itu tidak menunaikan solat kerana sibuk menguruskan hartanya, dia akan dibangkitkan bersama Qarun. Begitu juga sesiapa yang tidak menunaikan solat kerana sibuk mengendalikan perniagaannya, dia akan dibangkitkan bersama dengan Ubay bin Khalaf. Sedarlah kesemua mereka itu akan dimasukan ke dalam neraka.


Ayuh kita pelihara solat kita!

Ayuh wahai saudaraku! marilah kita semua menjaga dan memelihara solat dalam kehidupan seharian kita, kerana solat itu adalah tiang seri agama kita. Renungi sabda Rasulullah SAW:


As Solatu imaduddin, faman aqamaha faqad aqamad din, waman tarakaha faqad hadamad din

Maksudnya: “Solat adalah tiang seri agama, maka sesiapa yang menunaikan solat, maka sesungguhnya dia telah menegakkan agama, dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama”.

Sesungguhnya Islam itu telah dibina di atas solat, di samping mengucap dua kalimah syahadah, haji, puasa dan zakat.

Diterbit oleh :
Sekretariat Dakwah Dan Sosial
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
 

Wednesday, July 7, 2010

Ayat – ayat Cinta @ SMSAH



     Jitra, 28 julai - Ayat-ayat cinta. Begitulah tajuk utama ceramah motivasi yang telah berjaya diadakan di Masjid Muazzam, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH). Ceramah motivasi ini diadakan di hadapan  semua pelajar putera dan puteri sempena sambutan  Minggu Kesenian Islam 2010 (MIKI) di sekolah tersebut.


Slot ceramah motivasi ini telah disampaikan oleh Penolong Pengarah KRIM kedah Dr.  Hj Arif bin Hj Mat Nor yang juga merupakan pakar motivasi dari QSI Alpha Theraphy & Training. Dalam slot ini, tuan penceramah telah menghuraikan  tentang fitrah semula jadi manusia yang mahukan cinta dalam kehidupan.

Penyampaiaan slot ceramah  telah diselang-selikan dengan tayangan video bagi menarik perhatian dan memberi kesan kepada para pelajar. Di akhir penyampaian motivasi ini, rata-rata pelajar telah diberi kesedaran tentang pentingnya memelihara  cinta Allah s.w.t mengatasi cinta segala makhluk.

Semoga slot movasi seperti ini dapat menaikkan semangat dan membuka lembaran baru bagi  para pelajar dalam mengharungi fitrah kehidupan manusia terutamanya dalam memainkan peranan sebagai remaja muslim.Pihak KRIM kedah mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah yang telah menjemput  dan memberi kepercayaan kepada kami untuk sama-sama  menjayakan  aktiviti minggu kesenian Islam di sekolah tersebut.


Laporan disediakan  oleh,

Mukeri Mohd Ali
AJK
KRIM Kedah

Remaja : Permasalahan dan Penyelesaiannya.



Jitra, 24 Jun – Kelab remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Kedah telah dijemput untuk  mengadakan satu program khas bersama semua pelajar puteri di sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH).  Program ini diadakan bersempena dengan Minggu Kesenian Islam yand diadakan selama seminggu di SMSAH.  Slot bersama pelajar puteri ini telah dikendalikan oleh Ustazah Siti Rahmah yang dijemput khas dari biro wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).  Antara topik perbincangan pada malam tersebut adalah sekitar permasalahan wanita iaitu bab aurat perempuan yang telah baligh dan kebersihan diri (haid).


Dalam bab aurat wanita, penceramah telah menyatakan  dan mempericikan cara berpakaian yang berlandaskan agama Allah.  Penceramah juga menyelitkan tentang azab-azab orang yang membuka aurat.  Selain itu bab penjagaan dan kebersihan diri dari haid juga disentuh secara panjang lebar oleh Ustazah Siti Rahmah


Program berakhir dengan sesi soal jawab antara pelajar dan penceramah.  Adik-adik puteri dilihat begitu bersemangat melontarkan pelbagai persoalan disekitar tajuk yang telah dibincangkan.  Perkongsian ilmu ini begitu bermakna sekali kerana sedikit sebanyak dapat menyelesaikan masalah yang berkait rapat dengan remaja dan juga wanita.  


Laporan disediakan oleh,

Mazlina binti Abdul Manaf
Setiausaha
KRIM Kedah

    

Tuesday, July 6, 2010

Mahkota Akhlak

Akhlak merupakan pendorong bagi menjauhi perkara-perkara yang buruk. Ia juga menjadi penghalang daripada mengurangkan hak-hak mereka yang berhak.
Pemilik akhlak akan ditimpa perubahan akibat takut malu kepada Allah dan manusia. Ia merupakan satu perasaan yang hidup yang dapat mengangkat jiwa seorang insan daripada melakukan kesalahan atau dosa. Dengan akhlak kita akan merasa tercelanya perkara-perkara yang hina. Akhlak ini akan lahir dalam diri seorang insan apabila dia mengetahui bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhatikannya. Sesungguhnya akhlak malu itu merupakan mahkota kepada akhlak.
 
Malu itu sebahagian daripada iman 
Iman mempunyai pelbagai cabang, ketikamana Rasulullah s.a.w menyatakan bilangan cabang-cabang iman, hanya akhlak malu disebut secara khusus. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Iman itu mempunyai tujuh puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman.”(hadith riwayat Muslim). Dan dalam riwayat yang lain Baginda bersabda “ Iman itu mempunyai enam puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman.” (hadith riwayat Al-Bukhari)

Malu itu akhlak Islam
Akhlak malu telah disebut secara khusus tanpa cabang-cabang yang lain daripada cabang iman kerana ia merupakan akhlak Islam yang paling penting. Sabda Rasulullah s.a.w : “Bagi setiap agama itu akhlaknya dan akhlak Islam itu malu”(hadith riwayat Malik). Para sahabat tertarik dengan akhlak malu yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah merupakan seorang yang teramat malu. Daripada Abi Said Al-Khudri r.a berkata bahawa : “Rasulullah s.a.w itu lebih malu daripada perawan dalam tempat persebunyiannya”.(hadith riwayat Al-Bukhari).

Malu itu neraca amalan
Malu itu merupakan suatu neraca. Manusia mengetahui kebaikan suatu amalan dengan pelbagai jenis neraca. Diantara neraca tersebut ialah malu. Kita akan mendapati mereka yang menggunakan neraca malu tidak akan menerima suatu amalan yang menyebabkan mereka berasa malu. Sesungguhnya apabila mereka ingin melakukan sesuatu mereka akan melihat pada diri mereka, sekiranya mereka berasa malu mereka tidak akan melakukannya, dan sekiranya sebaliknya mereka akan melakukannya. Apabila seseorang hilang malu, maka dia akan melakukan apa yang ingininya dengan sesuka hatinya. Daripada Abi Mas’ud Uqbah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.”(hadith riwayat Al-Bukhari).

Malu itu semuanya baik
Jika disana terdapat akhlak yang semuanya baik,itulah dia malu. Daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : “Malu itu semuanya baik (akibatnya)” atau baginda bersabda “Malu itu baik semuanya (akibatnya).”(hadith riwayat Muslim). Perasaan takut yang lahir daripada sifat malu tidak dianggap sebagai pengecut. Mereka yang malu lebih rela darahnya tumpah daripada jatuh airmukanya. Inilah kemuncak berani. Takut yang lahir daripada sifat malu bukanlah suatu kekurangan kerana dia hanya takut kehilangan kemuliaan dan keindahan dirinya. 

Malu itu suatu perhiasan
Terdapat perkara-perkara yang menambahkan kecantikan sesuatu apabila diiringinya. Diantara perkara tersebut ialah malu. Ia menghiasi setiap perkara yang diiringinya. Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w : “Tidaklah sesuatu perkara yang diiringi kekejian itu kecuali ia akan menodainya, dan tidaklah sesuatu perkara yang diiringi malu kecuali ia akan menghiasinya.”(hadith riwayat At-Tirmidzi) 

Hilang malu penyebab kebinasaan
Hilang malu merupakan sesuatu yang amat ditakuti oleh para salafussoleh. Bagi mereka ia merupakan salah satu daripada punca kebinasaan. Ini berpandukan kepada sabda Rasulullah.s.a.w : “Sesungguhnya apabila Allah ingin membinasakan seorang hamba dicabut darinya perasaan malu, setelah tercabut perasaan malunya tidak akan menimpanya kecuali perkara yang amat dibenci (oleh Allah), setelah itu tercabut pula sifat amanah darinya, setelah tercabut sifat amanah dari dirinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang pengkhianat, setelah itu tercabut darinya sifat rahmah, setelah tercabut sifat rahmah darinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang yang celaka dan dilaknat (dijauhkan), setelah itu dia tercabut dari simpulan Islam.”(hadith riwayat Ibnu Majah).

Malu lelaki dan wanita
Malu itu dituntut kepada lelaki dan perempuan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w melintasi seorang lelaki ansar yang sedang sedang menasihati saudaranya tentang hal sifat malu - yakni malu mengerjakan kejahatan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda : "Biarkanlah ia, sebab sesungguhnya sifat malu itu termasuk dari keimanan."(hadith riwayat Al-Bukhari).

Namun fitrah wanita menjadikannya lebih malu, oleh itu perkara yang mencemarkan malu seorang wanita itu lebih daripada lelaki. Sekiranya malu seorang lelaki zahir secara praktikal dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh mengaibkannya begitu juga wanita malah lebih lagi. Seorang wanita yang pemalu tidak akan merenung kepada sesiapa yang berbicara dengannya. Dan ketawanya hanyalah dengan senyuman apabila dengan kehadiran orang asing, dan tidak ketawa terbahak-bahak. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukannya walaupun dia seorang lelaki. Daripada Abdullah bin Harith bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah ketawa kecuali dengan senyuman.”(hadith riwayat At-Tirmidzi). Dan wanita apabila ingin membeli perhiasan peribadinya (pakaian dan lain-lain), perasaan malunya akan menghalangnya daripada membeli daripada penjual lelaki. 

Kami golongan yang praktikal
Setiap perkara berkaitan dengan malu yang telah disebutkan haruslah menjadi tugasan amali setiap individu. Kita perlu menetapkan suatu tempoh yang tertentu untuk sentiasa menilainya dalam diri kita. Semoga kita dapat memastikan bahawa akhlak malu hadir dalam tingkahlaku kita. 

Semoga semua tugasan amali ini menjadi tarbiyah dan latihanuntuk diri kita sepanjang tempoh ini. Semoga malu menjadi akhlak kita dan sentiasa mendampingi kita. Kita kena cuba untuk menghafal hadith-hadith yang telah disebutkan sekadar mampu. Ia akan membantu kita menegaskan lagi makna-makna tersebut dalam diri kita.Ia juga dapat membantu kita menyampaikannya kepada manusia yang lain. Suatu kewajipan bagi kita untuk menyampaikan kepada semua muslimin dan muslimat.

Sunday, July 4, 2010

Wahai Pemuda Pemudi Islam !

Apabila kita menilai kekuatan sesebuah negara , pastinya kita akan kagum dengan nilaian material seperti hebatnya bangunan-bangunan yang di bina, cantiknya permandangan bandaraya dan canggih kenderaan yang dicipta. Pandangan ini sentiasa mengkaburi hakikat yang sebenar . Kekuatan yg sebenarnya di ukur dengan quality generasi pemuda yang akan mewarisi perbendaharaan negara. Generasi pemuda adalah aset terbesar dan paling berharga kepada sesebuah negara.

Jatuh bangun sesebuah tamadun bergantung kepada kekuatan manusia, bukannya kehebatan dunia material. Tunjang kepada kekuatan manusia terletak kepada generasi pemuda.

Sejarah telah membuktikan kehebatan pemuda dalam menggerakkan sesuatu perubahan. Apabila pemuda bangun bertindak , maka sesuatu yang diluar jangkaan akan berlaku. Golongan ini mempunyai semangat yang kental , kehendak yang tinggi, dan berani lagi tangkas . Mereka juga mampu menggarap kefahaman baru dengan budaya fikir yang mantap dan mampan.

Al Quran menukilkan kisah Ashabul Ukhdud juga Ashabul Kahfi . Rasul-rasul yang mulia juga bermula pada usia yang muda Daud, Ismail, Isa dan ramai lagi telah mengerakkan dakwah mereka pada usia yang muda. Sahabat Rasulullah SAW juga terdiri dari golongan pemuda. Khalifah- khalifah awal Islam bersama dengan dakwah Islam pada usia yang muda – Abu bakar ra masuk Islam pada usia 32 tahun, Umar ra 35 tahun, Ali ra 9 tahun, Uthman ra 30 tahun.
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى (Kahfi:13)
Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang
beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.
Kehebatan dunia barat pada kurun 15 hingga 19 juga didokong oleh semangat golongan pemuda. Mereka mengkaji, mencipta dan meneroka ke seluruh alam. Mereka mendabit dada keseluruh alam agar manusia tunduk kepada kehebatan mereka dan mengikut cara kehidupan mereka. Kesungguhan mereka telah membuka jalan kepada generasi seterusnya untuk menjajah bumi juga hati umat Islam.

Masa berlalu, Generasi silih berganti. Generasi yang baru mula leka dan seronok menikmati hasil kerja generasi terdahulu. Budaya hendonisme menjadi tarikkan golongan pemuda hari ini.

Budaya hendonisme ini mula meresap masuk sampai ke peringkat pimpinan. Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

Siapakah barisan manusia yang akan mengambil tampuk kepimpinan umat manusia setelah barat tidak mampu lagi membendung masalah dalaman yang parah? Kita beriman dengan aqidah bahawa Islam adalah deen penyelamat kepada umat manusia. Islam pasti akan kembali memimpin umat manusia. Siapakah yang akan membawa panji Islam ini? Siapakah yang berani tampil dengan imej Islam dan menyeru manusia untuk kembali kepada Islam?
518353711l1
Wahai pemuda-pemudi, sedarkah kalian bahawa tugas kita amat besar. Tidak pernahkah kalian melihat sahabat-sahabat kalian di Palestin yang memperjuangkan tanah palestin. Tidak pernahkah kalian melihat sahabat kalian di Perancis yang memperjuangkan pemakaian tudung. Lihatlah dan bukalah mata kalian seluas-luasnya. Janganlah kalian sibuk dengan kehidupan hedonism kerana sejarah banyak membuktikan sifat inilah menjadi punca tumbangnya satu kuasa besar. Janganlah kalian menjadi hamba kepada mekanisme barat seperti games, fesyen, dan hiburan. Janganlah mengagung-agungkan cara hidup barat. Kembalilah dengan cara hidup Islam yang syumul. Cara hidup yang jika kalian ikut, sudah mampu melahirkan insan luar biasa seperti Salahuddin Al-Ayubbi, Sultan Muhammad Al-Fateh, Zainab Al-Ghazali dan lain-lain.

Bila kau bergelar DAIE.. Kau wajib sedar bahawa jiwa kau tak boleh lama menjadi REMAJA.. Bak kata AL BANNA.. ‘Tanggungjawab melebihi masa yang ada’ dan tarbiyyah yang bersalutkan ILMU dan CABARAN lah yang dapat menDEWASAkan kau.. Tapi cukupkah jika sekadar menerima tarbiyyah? Sampaikanlah pada yang lain.. Bangunlah wahai SYABAB.. Sedarlah wahai FATA.. Kalian bukan memulakan perjuangan.. Tapi kalian adalah mata-mata yang menyambung rantai perjuangan.. Bangkitlah wahai sahabatku.. Semoga usaha kalian diberkati Yang Maha Esa..