Tuesday, January 19, 2010

Rehlah KRIM Menutup Tirai 2009


Pantai Merdeka, 29 Dis. – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) negeri Kedah menutup tirai 2009 dengan mengadakan program Rehlah Ukhuwwah bertempat di Pantai Merdeka pada 29 Disember 2009 yang lepas. Seramai 30 orang peserta sekolah menengah sekitar negeri Kedah berjaya dikumpulkan dengan dibantu oleh 6 orang fasilitator yang terdiri daripada bekas pelajar STAM dan pelajar universiti yang sedang bercuti.

[Petikan Akhbar Sinar Harian]


Program bermula pada malam 28 Dis, para peserta mula berkumpul dan mendaftarkan diri di Tadika Tasnim Bestari, Alor Setar pada jam 9 malam. Sesi taaruf membuka tirai program pada malam itu dan disusuli dengan pengisian pertama bertajuk ‘Realiti Umat Kini dan Remaja Kita ‘. Intipati utama daripada slot itu ialah para peserta mendapat gambaran bagaimana umat Islam seluruh dunia amnya yang sedang ditindas dan dizalimi manakala remaja-remaja di Malaysia khususnya masih leka dan alpa dengan serangan-serangan pemikiran oleh barat yang berjaya mengaburi mata hati mereka. Seterusnya pengarah KRIM Kedah, saudara Syauqi membuat pengenalan KRIM kepada para peserta dengan tayangan multimedia aktiviti KRIM sepanjang tahun 2008 dan 2009. Para peserta diberi ruang untuk tidur seawal jam 11 malam untuk program seterusnya di Pantai Merdeka keesokan hari.


Perjalanan ke Pantai Merdeka bermula setelah para peserta selesai berqiamullail, solat subuh dan bacaan mathurat secara beramai-ramai. Semua peserta selamat tiba di destinasi kira-kira jam 9 pagi setelah melalui perjalanan hampir 100km dari Bandaraya Alor Setar. Setelah selesai mengemas kawasan dan bersarapan, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Zuhri selaku Pengarah YADIM zon utara. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan para peserta agar menjadi seorang remaja yang berguna, sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga berharap agar para peserta selalu mendekatkan diri dengan program-program yang bermanfaat seperti yang dianjurkan oleh KRIM.


Slot perbincangan bersama fasilitator menyusul selepas itu dengan para peserta membincangkan tajuk ukhuwwah. Banyak idea-idea bernas yang dilontarkan oleh para peserta tentang cara untuk merapatkan ukhuwwah di sesama Muslim.



Kemeriahan rehlah KRIM makin terserlah dan lebih ceria dengan aktiviti ‘bermain bola ikat kaki’. Permainan ini memerlukan kecekapan bertindak dan dalam masa yang sama perlu memahami rakan pasangan agar pergerakan menjadi lancer. Walaupun rata-rata peserta agak sukar untuk bergerak, kelihatan mereka begitu bersungguh-sungguh untuk meneruskan permainan, Moral paling penting yang diperoleh oleh para peserta dalam permainan bola tadi ialah mereka dapat memahami betapa pentingnya sifat saling membantu di antara satu sama lain.


Setelah penat bermain, para peserta bekerjasama untuk menyediakan makanan tengahari berkonsepkan BBQ bersama fasilitator dalam kumpulan. Sambil membakar ayam, para peserta mengambil peluang ini untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Selesai makan tengahari dan solat zohor berjemaah,para peserta dihidangkan dengan pengisian ringkas oleh motivator KRIM Kedah iaitu Tuan Haji Arif dengan tajuk ‘Alam’. Suasana Pantai Merdeka yang begitu indah bertambah serinya apabila Ustaz Arif mengajak para peserta melihat kejadian alam itu dengan mata hati, melihat pulau-pulau sekitar, pantai, burung-burung dan segala ciptaan tuhan yang begitu sempurna sifatnya. Beliau juga berharap agar para peserta sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan.



Walaupun agak keletihan, para peserta nampak begitu bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang seterusnya iaitu permainan ‘ pijak belon dikaki’. Permainan ini memerlukan kepantasan dan kepekaan dalam menyerang dan bertahan agar tidak silap menyerang rakan sendiri. Suasana kegembiraan jelas kelihatan dengan gelak ketawa para peserta dan fasilitator melihat gelagat rakan-rakan yang bermain.


Aktiviti terakhir adalah aktiviti yang paling dinanti-nantikan peserta iaitu mandi laut. Peruntukan masa 20 minit yang diberikan untuk membasahkan badan dalam laut di Pantai Merdeka nyata tidak mencukupi namun kualiti masa selama 20 minit itu digunakan sebaik mungkin oleh para peserta untuk meningkatkan lagi tahap ukhuwwah yang sudah terjalin sejak awal program rehlah ini.



Para peserta mula bergerak pulang selepas selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah di sebuah masjid berhampiran dengan Pantai Merdeka. Semoga program rehlah ini mampu menjadi saksi keakraban ukhuwwah yang berjaya dibina di kalangan para peserta.


Kata-kata Assyahid Hasan Albanna :



“…angkatan pemuda, sejak dahulu hinggalah sekarang tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat”


Habib bin Abdul Fisol


Pengarah Program


Rehlah KRIM 2009

No comments:

Post a Comment