Tuesday, January 19, 2010

“Puteriku Sayang” Suntik Semangat Remaja Muslimah


Alor Setar, 23 Dis.- Bertemakan “Seindah Mawar Berduri”, program “Puteriku Sayang” telah berjaya menyuntik semangat para remaja untuk menjadi muslimah sejati dan membentuk peribadi muslim yang sebenar. Program yang bertempat di Tadika Tasneem Bestari Alor Setar ini telah mengumpulkan 30 orang remaja muslimah dari seluruh negeri Kedah termasuk Alor Setar, Sungai Petani dan Jitra.


Program dimulakan dengan Pengenalan KRIM kepada para peserta diikuti dengan sesi taaruf. Walaupun datang dari tempat yang berbeza, para peserta mudah mesra di antara satu sama lain terutamanya selepas beberapa aktiviti ‘ice breaking’ dijalankan. Seterusnya mereka dibahagikan kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama ditugaskan untuk membakar ayam, kumpulan kedua pula memasak nasi serta membancuh air dan kumpulan tiga memasak sayur serta air asam. Setiap peserta tidak melepaskan peluang untuk menunjukkan kemahiran memasak mereka.




Para peserta diajar mengikut sunnah Rasulullah makan di dalam talam dan ini memberikan pengalaman baru kepada kebanyakan daripada mereka. Usai berkelah dan solat Zohor berjemaah para peserta diajak beralih dari suasana santai dan riang ria kepada sesi yang lebih serius.

                                                                          
 [Hati-hati mula tersentuh]


Bermula dengan tazkirah ringkas oleh Ukhti Hasra, hati mereka diketuk untuk berubah dan berhijrah ke arah yang lebih baik. Pengisian seterusnya mengajak para peserta menghayati lirik lagu “Puteriku Sayang” dan menyeru meraka untuk menjadi seindah mawar berduri. Suasana penuh keinsafan diteruskan lagi dengan persembahan tayangan video yang turut menyuntik semangat mereka untuk menjadi muslimah sejati.

    
        [Puteriku sayang..seindah mawar berduri]


Kemudian para peserta diberikan dua helaian kertas kecil dan diminta menulis dosa-dosa yang pernah dilakukan dan ikrar mereka untuk berubah. Kertas yang ditulis dosa-dosa dikoyak dan dibuang ke dalam tong sampah sebagai simbolik yang mereka membenci dosa-dosa itu dan tidak akan mengulanginya lagi. Kertas ikrar pula disimpan untuk mengingatkan mereka selepas ini. Terdapat peserta yang berani melafazkan ikrar mereka di hadapan semua peserta dengan penuh semangat “..saya akan berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik, taat kepada ibu bapa dan menjadi muslimah solehah..”

[Berjanji takkan ulang lagi dosa2 ini]


Program “Puteriku sayang” melabuhkan tirai selepas solat Asar. Semoga para peserta berjaya merealisasikan ikrar mereka dan menjadi wanita solehah yang seindah mawar berduri di taman larangan..cantik dipandang namun untuk dipetik sesuka hati sukar sekali..Aduhai puteriku sayang..kau bunga terpelihara, mahligai syurga itulah tempatnya!


No comments:

Post a Comment