Tuesday, January 19, 2010

TAUTAN HATI 2 KEMBALI MENEMUI REMAJA MUSLIMAH!


Tasik Darulaman, Jitra 12 Disember- KRIM cawangan Kedah sekali lagi berjaya menganjurkan program cuti sekolah “Tautan Hati 2” bertemakan “apa yang penting..KERJASAMA!” Program ini merupakan siri kedua yang mendapat permintaan ramai selepas “Tautan Hati” yang berlangsung pada 12 Jun yang lalu.
Program separuh hari yang masih mengekalkan konsep santai ini berjaya menghimpunkan para pelajar muslimah dari pelbagai sekolah seperti Maktab Mahmud Alor Star, Maktab Mahmud Pokok Sena, SMK Jitra, SM Teknik Alor Star, SMK Seri Ampang, SMK Tun Sharifah Rodziah dan sebagainya. Rata-rata peserta mendapat informasi daripada rakan-rakan yang pernah menghadiri program “Tautan Hati”. Apa yang lebih mengharukan, terdapat seorang peserta dari MRSM Merbok yang pada asalnya datang untuk riadhah bersama keluarga namun tertarik dengan program dan terus bersama-sama menyertai program ini.



Seperti biasa, program dimulakan dengan sesi “ice breaking” memandangkan para peserta mempunyai latar belakang yang berbeza. Setelah “ice breaking” para peserta semakin mesra di antara satu sama lain. Mereka juga dikehendaki mengundi nama rakan-rakan yang akan menerima bingkisan hati daripada mereka pada akhir program.
Acara yang paling ditunggu-tunggu ialah sukan air. Walaupun letih dan lenguh kaki mengayuh bot, namun para peserta kelihatan gembira sekali. Dalam keriangan, ajk tidak lupa menyelitkan beberapa pengajaran yang diperoleh daripada aktiviti ini seperti memupuk sifat sabar, kerjasama dan memiliki matlamat serta halatuju dalam setiap tindakan.



Usai melepaskan lelah, program diteruskan dengan aktiviti “team building”. Para pesrta dibahagikan kepada dua kumpulan. Bertepatan dengan temanya iaitu apa yang penting..KERJASAMA! beberapa aktiviti dijalankan bagi memupuk kerjasama di antara para peserta. Kemudian, tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Ukhti Suriani..akhawat Australia yang sudi memeriahkan program KRIM.



Program “Tautan Hati 2” diakhiri dengan perkelahan di tepi tasik. Sebelum bersurai, setiap peserta menerima bingkisan hati yang berbentuk surat dari kalangan mereka sendiri.
Walaupun program ini tidak memakan masa yang lama, namun diharapkan para peserta mendapat pengajaran daripada setiap aktiviti yang dijalankan. Semoga ukhuwah yang terjalin akan terus bersemi buat selamanya..InsyaAllah.






No comments:

Post a Comment