Saturday, March 13, 2010

"Kita Harus Berubah Dan Mengubah"

                      

                            

Jitra, 4 Feb – Bertempat di Masjid Mua’zam Shah, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Tuan Haji Muhamad Shakirin Shaari yang mewakili KRIM Kedah telah menyampaikan ceramah berkisar tentang remaja dan masa depan. Ceramah yang diadakan sempena dengan minggu orientasi pelajar tingkatan 4 yang baru mendaftar di SMSAH telah dihadiri oleh hampir 600 orang pelajar.
 Walaupun pihak sekolah menjemput KRIM pada saat akhir untuk mengendalikan slot ceramah tersebut, pengalaman yang dimiliki oleh Tuan Haji Muhamad Shakirin yang juga pensyarah kanan UUM dan bekas ahli jawatankuasa pusat ISMA berjaya menghidupkan suasana di dalam masjid tersebut.
 Ceramah yang banyak menyentuh tentang tanggungjawab remaja Islam dalam menghadapi kehidupan semasa turut diselitkan dengan statistik sebenar tentang permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di dunia amnya dan di Malaysia khususnya di samping statistik berkaitan dengan prestasi akademik pelajar Melayu di IPT seluruh  Malaysia.
 Menurut Tuan Haji Shakirin, para pelajar  perlu merasai bahawa setiap daripada mereka bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang melanda remaja dan umat Islam agar generasi yang akan datang dapat merasai perubahan positif yang bakal berlaku.
 Semoga warga SMSAH terus bersemangat untuk berubah ke arah yang lebih baik pada masa yang akan datang lebih-lebih  lagi setelah diisytiharkan sebagai salah sebuah dari 20 buah sekolah di seluruh Malaysia yang mendapat pengiktirafan ‘Sekolah Berprestasi Tinggi’ oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pihak KRIM Kedah mengucapkan tahniah kepada semua warga pendidik dan pelajar SMSAH atas pengiktifan tersebut. 
 Mohd Khalil Hashim (Timbalan Pengarah) KRIM Kedah

No comments:

Post a Comment