Pendang Lake Resort, 13 & 14 Feb – Kem See You di IPT atau ringkasnya C.U.D.I.P.T berjaya diadakan dengan jayanya di sebelah kedamaian tasik di Pendang Lake Resort. Kem anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) Kedah dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Perlis ini berjaya mengumpulkan seramai 21 orang peserta putera dan 20 orang peserta puteri yang terdiri daripada pelajar tingkatan 4 hingga lepasan SPM 2009. Mereka telah mendaftarkan diri seawal jam 8.15 pagi lagi untuk menyertai kem ini.
Dr Haji Mohd Arif telah diamanahkan untuk mengisi slot pertama dengan ceramah motivasi yang bertajuk ‘Kenali Potensi Diri’. Ternyata slot ini berjaya membangunkan setiap peserta agar dapat memuhasabah diri masing-masing akan nikmat Allah yang telah diberikan kepada setiap manusia dengan kelebihan dan potensi yang tersendiri dan berbeza antara individu. Selesai ceramah motivasi, perasmian kem telah disempurnakan oleh Pengurus YADIM zon Utara, Tuan Haji Zuhri bin Hussain. Selesai makan tengahari dan solat Zohor, saudara Syauqi selaku pengarah KRIM Kedah telah memberi pengenalan KRIM kepada para peserta dan diikuti oleh pengerusi PEMBINA Perlis, saudara Hamzah untuk pengenalan PEMBINA.
Sepanjang dua hari dan satu malam kem, pelbagai aktiviti telah dijalankan yang merangkumi program dalaman dan luaran. Antara program dalaman yang dijalankan termasuk slot ’Halatuju Selepas SPM’ yang disampaikan oleh saudara Hamzah, pensyarah Universiti Malaysia Perlis; slot ’Pemilihan Bidang’ oleh Cikgu Amar Maarof, guru perakaunan Sek. Men. Keb. Padang Siding dan slot ’Peluang dan Pengurusan Biasiswa / Pinjaman’ oleh sauadara Mohd Khalil, perunding kewangan Islam. Namun slot yang paling mendapat sambutan para peserta adalah slot ’Cabaran di IPT’ yang dijalankan dalam bentuk forum yang dipengerusikan oleh saudara Abdul Rahman, pelajar kursus perguruan di IPG Perlis. Ahli panel forum tersebut terdiri daripada Doktor Ummu (doktor perubatan di Hospital Putrajaya), Encik Mohd Hisham (pensyarah UUM) dan saudara Ahnaf (sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti terkemuka di Koreea Selatan). Perkongsian ilmu dan pengalaman oleh para panel yang berpengalaman berjaya menghidupkan suasana forum yang bersifat dua hala antara ahli panel dan para peserta.
Program luaran pula diadakan secara berasingan antara peserta putera dan puteri di sekitar Pendang Lake Resort. Aktiviti luaran dikendalikan sepenuhnya oleh para fasilitator yang terdiri daripada para pelajar di IPT sekitar utara Malaysia. Walaupun aktiviti luaran dijalankan sebanyak dua slot sahaja, ukhuwwah berjaya dieratkan dengan baik sesama peserta. Segala kemusykilan para peserta pula berjaya dijawab dengan baik oleh para fasilitator semasa sesi latihan dalam kumpulan (ldk). Pelbagai persoalan telah diajukan kepada para fasilitator semasa slot ldk ini dan pada waktu yang sama, para peserta bertukar-tukar nombor telefon dan alamat e-mail agar ukhuwwah terus dimanfaatkan selepas kem C.U.D.I.P.T.
Acara terakhir ialah sesi bergambar beramai-ramai antara para peserta, fasilitator dan urusetia kem. Walaupun hanya dijalankan selama dua hari satu malam, kepuasan jelas terpancar di wajah para peserta yang turut dibekalkan dengan cd yang mengandungi maklumat berharga bagi menghadapi persediaan ke IPT.
Mohd Khalil Hashim Timbalan Pengarah KRIM Kedah
No comments:
Post a Comment