Friday, April 30, 2010

Motivasi KRIM di Maktab Mahmud Baling










 Baling, 26 April – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia( KRIM ) cawangan Kedah telah dijemput untuk mengadakan ceramah motivasi untuk pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima di Maktab Mahmud Baling. Bagi membuktikan komitmen KRIM terhadap meningkatkan jatidiri remaja, pengarah dan timbalan pengarah beserta dua ahli jawatankuasa KRIM Kedah telah turun ke Maktab Mahmud Baling untuk menjayakan program tersebut.

Program tersebut bermula pada jam 10.30 pagi dengan ucapan aluan dari Penolong Kanan Maktab Mahmud Baling yang mewakili tuan pengetua. Seterusnya slot pengenalan KRIM kepada para pelajar telah disampaikan sendiri oleh Pengarah KRIM Kedah, saudara Mohd Khalil Hashim. Semasa taklimat tersebut, beliau telah menerangkan tentang matlamat dan halatuju KRIM yang tampil di tengah-tengah masyarakat untuk bersama-sama memainkan peranan dan menawarkan pakej pembangunan yang menyeluruh merangkumi aspek rohani dan jasmani. Taklimat yang turut diselitkan dengan dua tayangan video ringkas berkaitan dengan aktiviti KRIM Kedah berjaya menjelaskan lagi sumbangan yang mampu diberikan oleh KRIM Kedah kepada masyarakat.

Seterusnya slot yang dinanti-nantikan iaitu ceramah motivasi yang disampaikan oleh pakar motivasi, Dr Haji Mohd Arif yang juga merupakan Timbalan Pengarah KRIM Kedah. Ceramah yang berkisar tentang potensi diri yang dimiliki oleh setiap remaja dan permasalahan remaja masakini berjaya membuka minda para pelajar untuk mengembleng seluruh keupayaan diri bagi menjayakan cita-cita melahirkan golongan remaja yang berjiwa kental untuk sama-sama mengajak rakan sebaya dan masyarakat ke arah perkara yang positif dan diredhai Allah. Doktor Haji Arif juga menyatakan bahawa diri kita adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita sentiasa berfikiran positif dann bersangka baik dengan segala yang berlaku, insyaAllah kejayaaan akan berada di depa mata. Di akhir slot ceramah tersebut, Doktor haji Arif sempat menjalankan aktiviti berkaitan hipnosis yang cuba merangsang jiwa separa sedar para pelajar bagi dipraktikkan dalam kehidupan seharian. 

Selesai slot ceramah, para pelajar mula membanjiri kaunter jualan Islamic Sticker KRIM Kedah. Ternyata jualan barangan berunsur Islam berjaya menambat hati para pelajar. Pihak jawatankuasa KRIM Kedah juga sempat berinteraksi dengan saudara Fadhil (peserta terbaik Jambori Remaja Nasional tahun lepas di Negeri Sembilan) dan dua orang sukarelawan KRIM semasa Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis peringkat zon Utara, saudara Faiz dan Faizzudin. Mereka merupakan pimpinan pelajar di Maktab Mahmud Baling. KRIM Kedah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak pengurusan Maktab Mahmud Baling yang sudi menjemput kami berkongsi ilmu dengan para pelajar.


Laporan disediakan oleh,
Habib bin Abdul Fisol
Ahli Jawatankuasa / unit media
KRIM Kedah

No comments:

Post a Comment