Friday, April 30, 2010

Muzakarah KRIM Kedah bersama BADAR SMSAH



Jitra, 16 April – Bertempat di Masjid Mua’zam Shah, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) telah diadakan satu muzakarah ringkas antara KRIM Kedah dan ahli Badan dakwah dan Rohani (BADAR) SMSAH. Majlis yang diadakan selama sejam selepas solat Isyak telah dihadiri oleh hampir 40 orang ahli BADAR putera dan puteri dan KRIM Kedah pula diwakili oleh Pengarahnya, saudara Mohd Khalil Hashim dan penasihat agama, Ustaz Mohd Kashfi bin Ali yang juga merupakan ketua penasihat BADAR Sekolah Menengah Agama Kedah.

Perbincangan atau muzakarah ini lebih kepada perkongsian pengalaman antara KRIM atau secara khususnya Ustaz Kashfi dalam mengendalikan BADAR di Sekolah Menengah Agama Kedah untuk dipraktikkan di SMSAH. Pelbagai soalan telah diajukan sepanjang muzakarah tersebut yang mana soalan-soalan yang diajukan lebih menjurus kepada permasalahan yang dihadapi oleh BADAR SMSAH dalam melaksanakan tugas di sekolah. Semua soalan berjaya dijawab dengan baik oleh Ustaz kashfi dan beliau juga turut memberi saranan dan cadangan untuk memantapkan lagi organisasi BADAR di SMSAH.

Mengakhiri sesi muzakarah tersebut, Ustaz kashfi memberi nasihat kepada ahli BADAR yang hadir agar sentiasa menjaga hubungan baik dengan guru dan rakan serta perkara paling penting menurut beliau ialah keperibadian semua ahli BADAR perlu dijaga agar tidak menimbulkan fitnah di sekolah.
Semoga perbincangan seperti ini dapat diteruskan untuk masa-masa yang akan datang dan KRIM Kedah mendoakan agar semua ahli BADAR putera dan puteri terus komited untuk mendidik rakan-rakan sebaya ke arah yang lebih baik dan diredhai Allah, InsyaAllah.


Disediakan oleh,
Zaihasra binti Jusoh
Ahli Jawatankuasa KRIM Kedah

No comments:

Post a Comment